Malaysia Dateline

Minyak sawit: Kerajaan India belum buat kenyataan, kata Mahathir

Kerajaan India belum membuat sebarang kenyataan berhubung  isu minyak sawit Malaysia-India walaupun terdapat pihak tertentu menasihatkan negara itu supaya tidak membeli produk berkenaan dari negara ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad

“Yang lebih penting ialah kerajaan mereka belum membuat sebarang kenyataan. Oleh itu kita tunggulah dasar kerajaan (India) mengenainya,” kata Perdana Menteri kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Terdapat pihak tertentu, termasuk warganet, individu dan persatuan perniagaan di India, membuat gesaan itu susulan kenyataan Dr Mahathir mengenai Jammu dan Kashmir di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York bulan lepas.

Dr Mahathir berkata Malaysia akan mencari jalan untuk menangani dan berkomunikasi dengan mereka, sambil menegaskan bahawa tindakan setakat ini bukanlah daripada kerajaan India.

“Malaysia ialah negara dagang, kita perlukan pasaran, oleh itu kita berbaik dengan orang lain, namun kita juga perlu memperjuangkan pihak lain, ada kalanya apa yang kita cakap digemari dan ada yang tidak disukai,” katanya diminta mengulas mengenai isu berkenaan.

Ditanya sama ada beliau akan menarik balik kenyataan yang dibuatnya di PBB, Dr Mahathir berkata  “Kita luahkan apa yang kita fikirkan, dan kita tidak menarik balik atau mengubahnya.

“Kita merasakan rakyat Kashmir sudah diberi, menerima manfaat daripada resolusi PBB, dan apa yang kita katanya ialah kita perlu patuh, bukan sahaja India, bukan sahaja Pakistan, malah Amerika dan negara lain perlu mematuhi resolusi PBB itu, jika tidak tidak perlulah ada PBB.”, UJARNYA.- BERNAMA.