Minyak Sawit: Tiada sekatan EU, sebaliknya bimbang akan kesan alam sekitar, kata Anak

 

Pertemuan delegasi Anak dengan Duta EU di Malaysia.

Tidak ada sekatan rasmi dilakukan terhadap minyak sawit Malaysia di Eropah sebaliknya keperihatian masyarakat Eropah lebih kepada isu alam sekitar.

Perkara ini dijelaskan hasil pertemuan antara delegasi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) yang dijemput bertemu Duta Kesatuan Eropah, Maria Castillo Fernande bagi membincangkan isu sekatan minyak sawit masuk ke Eropah semalam.

Timbalan Presidennya, Mohd Nasaie Ismail berkata,pihaknya menjelaskan, bahawa jika berlaku sekatan minyak sawit mentah akan memberi kesan buruk kepada kehidupan peneroka dan pekebun pekebun kecil sawit yang berkait dengan isu kemiskinan.

Namun begitu tidak dapat dinafikan bahawa luar daripada Felda, wujud penebangan hutan dalam skala yang besar untuk penanaman sawit terutamanya di negeri Sabah, Sarawak dan di Indonesia.

” Kami menjelaskan komitmen rakyat Malaysia dan kerajaan untuk memelihara alam sekitar dengan peraturan peraturan yang sedia ada, namun rasuah yang berleluasa menjadi salah satu punca sebilangan pihak melanggarinya dengan menebang hutan hutan yang menjadi pusat tadahan air hujan dan habitat flora dan fauna.

“Namun perubahan kerajaan yang berlaku dengan komitmen yang tinggi untuk melawan rasuah perlu diberi perhatian oleh Kesatuan Eropah bahawa isu isu berkait alam sekitar akan lebih terpelihara di masa hadapan.

“Disamping itu, usaha memelihara alam sekitar dan proses mendidik rakyat cakna terhadap alam sekitar semakin berkembang pesat di Malaysia dengan beberapa buah negeri sudah membuat peraturan melarang penggunaan plastik di pasaraya,” ujarnya dalam kenyataan.

Antara yang turut hadir Penasihat Ekonomi ANAK Felda Dr Rosli Yaakob dan Naib Presiden Anak Hairul Nizam. Manakala dua wakil daripada EU iaitu Maria Castillo Fernandez (Duta Kesatuan Eropah) dan Alfonso Pino Maeso (Attache Trade Section).

Selain itu Anak juga menjelaskan bahawa guna tanah untuk menghasilkan minyak sawit di Malaysia jauh lebih kecil berbanding guna tanah untuk menghasilkan minyak soya yang terpaksa menggunakan tanah yang lebih luas untuk mengeluaran jumlah yang sama dengan minyak kelapa sawit.

“Respon terhadap penjelasan kami, Ms Maria mengakui situasi di Malaysia jauh lebih baik berbanding dengan pengeluar sawit lain di seluruh dunia.

“Tambah beliau lagi, lantikan beberapa orang menteri yang dikenali sebagai ‘environmentalists’ dalam kabinet baharu Malaysia sebagai satu isyarat yang baik ke arah penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar lebih baik di Malaysia.

“Beliau menyatakan kesediaan untuk menjelaskan kepada pihak Kesatuan Eropah berkait hal hal yang telah kami jelaskan khususnya komitmen, peningkatan penjagaan alam sekitar dan isu isu kemiskinan melibatkan pekebun pekebun kecil sawit tersebut.

“Beliau juga menyatakan kesediaan untuk turun ke perkampungan rancangan Felda bagi melihat dan merasai sendiri kehidupan masyarakat Felda,” ujarnya menerangkan respon yang diberikan oleh wakil kesatuan Eropah itu.

Justeru Mohd Nasaie mengharapkan pertemuan yang diadakan atas nama NGO ini boleh memberi hasil yang baik kepada rakyat Malaysia secara khususnya dan juga kerajaan secara amnya.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS