Malaysia Dateline

Miri tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak

Bahagian Miri akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Ke-60 bermula pada 13 hingga 16 Januari ini.

Menurut kenyataan, majlis akan berlangsung di Dewan Suarah Miri bermula tepat jam 8.00 malam.

Katanya, edisi pada kali ini merupakan tahun kedua Majlis Tilawah Al-Quran dan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri (MTMQPN) diadakan serentak seperti tahun lepas.

“Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri diadakan bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari selama dua hari iaitu pada 14 hingga 15 Januari manakala Majlis Tilawah Al-Quran pula bermula pada jam 8.00 malam mulai 13 hingga 16 Januari

“Objektif penganjuran adalah untuk menyemarakkan lagi semangat cinta umat Islam kepada Al-Quran yang merupakan kitab suci yang syumul sifatnya merangkumi semua aspek kehidupan manusia dan sebagai usaha untuk melahirkan lebih ramai Qari dan Qariah yang berkaliber di negeri ini.

“Selain itu, ia akan dapat mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan para peserta serta merupakan satu platform bagi memilih wakil Sarawak ke Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kota Kinabalu Sabah pada 14 hingga 21 Februari nanti,” jelas kenyataan itu.

Tambahnya, tema “Ummah Gemilang bagi penganjuran MTMQPN pada tahun ini adalah amat signifikan dan bertepatan dengan situasi semasa.

Sehubungan itu, katanya seramai 22 peserta terdiri daripada 11 qari dan 11 qariah akan menyertai Majlis Tilawah pada kali ini.

“Bagi menghafaz Al-Quran pula, penyertaan para huffaz lelaki dan wanita dipertandingkan mengikut tiga kategori iaitu Juzuk 1 hingga 10 (5 lelaki dan 5 wanita),
Juzuk 1 hingga 20 (4 lelaki dan 4 wanita) dan Juzuk 1 hingga 30 (4 lelaki sahaja),” ujarnya.

Pada masa sama, beberapa program telah diatur bagi menarik lebih ramai pengunjung hadir ke majlis tersebut.

Antaranya ialah Kuiz Al-Quran, Jom Ngaji Belagu Ngan Dato Ismawi Duet, Pameran Teks dan Bahan Al-Quran, Jualan dan Pameran dan Kolokium Al-Quran.

“Orang ramai adalah dijemput hadir bersama keluarga bagi menghayati bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta memeriahkan acara menarik lain yang telah diatur,” tambah kenyataan itu lagi.
Attachments area