Usahawan dan anak kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, Mirzan Mahathir masih belum mengisytihar hartanya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memberikan tarikh akhir namun ia masih tidak dilaksanakan.
Memetik Sinar Harian, Mirzan mempunyai masa sekitar 24 hari sebelum tarikh akhir diberikan oleh SPRM.
Sumber terdekat memaklumkan Sinar Harian bahawa usahawan itu telah menerima notis pengisytiharan harta daripada pihak SPRM pada 17 Januari lalu.
“Beliau (Mirzan) telah diberikan notis pengisytiharan harta oleh SPRM pada Rabu minggu lalu.
“Tempoh masa yang diperuntukkan adalah selama 30 hari dari tarikh notis dikemukakan kepadanya,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Bahan bukti 42 tahun lepas akan digunakan di mahkamah
Tun Mahathir sebelum ini memaklumkan bahawa bahan bukti yang perlu diserahkan melibatkan pengisytiharan aset sejak 42 tahun lalu akan digunakan pihak berkuasa untuk mendakwanya di mahkamah.
Tambah Tun Mahathir, anaknya (Mirzan) disiasat dan diancam serta menyebabkan beliau mempersoal apa yang dilakukan anaknya hingga dia perlu disiasat oleh SPRM.
“Dia suruh anak saya bagi bukti supaya ayah boleh dicaj. Anak saya kena caj, kena beri bukti.
“Dari tahun 1981 sampai sekarang, sudah tentu dia simpan dalam pejabatnya, dalam bilik yang penuh dengan cek, dokumen.
“Kalau lebih 30 hari boleh kena hukum, masuk penjara lima tahun.
“Dia kena tanya bank, Petronas, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), korek pejabat dia sebab kena tunjuk bahan bukti,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Pada masa sama, Tun Mahathir mengakui risau terhadap siasatan dijalankan kepada anaknya itu kerana ia dilihat seperti suatu ancaman, yang boleh mengaitkannya melakukan kesalahan.
Baca juga: SPRM bengang doktor rawat Daim enggan terus terang, terpaksa tangguh dakwaan atas masalah kesihatan