Misi bantuan AMANAH Parit Buntar diteruskan walaupun banjir surut

Misi bantuan AMANAH Parit Buntar diteruskan walaupun banjir surut

Walaupun banjir telah surut, pelbagai kerosakan yang ditanggung oleh mangsa banjir amat membebankan serta memeritkan.

Atas kesedaran tersebut Parti AMANAH Parit Buntar dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar telah melancarkan misi bantuan kemanusiaan kepada beberapa buah kampung di Seberang Perai Utara semalam.

Demikian dinyatakan oleh Penolong Setiausaha AMANAH Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak yang turut turun padang menghulurkan bantuan keringat dan barang keperluan.

Menurut beliau, seramai 15 sukarelawan bersama-sama AMANAH Parit Buntar telah membantu mangsa banjir bagi membersihkan kediaman yang telah dimasuki air dan penuh dengan timbunan sampah sarap.

“Kita memberi tumpuan di kawasan Maklum, Pekan Darat, Seberang Perai yang turut terjejas teruk semasa banjir baru-baru ini.

“Sumbangan yang diberikan berupakan tilam dan juga keperluan dapur. Selain itu turut disumbangkan ialah makanan kering serta air mineral,” jelasnya.

Beliau juga berkata, barangan dapur telah disumbangkan terus ke pusat bantuan banjir AMANAH Pulau Pinang di Pajak Song, Sungai Dua, Seberang Perai Utara.

Antara penduduk yang menerima sumbangan semasa turun padang AMANAH Parit Buntar semalam.

“Sumbangan yang diperolehi adalah daripada individu serta badan korporat yang prihatin terhadap musibah yang menimpa mangsa banjir baru-baru ini.

“Gerak kerja ini turut disertai oleh ARIF dan AWAN Parit Buntar dengan kerjasama sukarelawan sedia ada.

Hairul Nizam (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada penduduk.

“Membersihkan kawasan yang ditenggelami air bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan keringat yang banyak di samping kesabaran yang tinggi,” ujarnya lagi.

Membantu membersihkan kawasan yang becak turut dilakukan oleh anggota misi bantuan AMANAH Parit Buntar di Pulau Pinang semalam.

Malah katanya, AMANAH akan meneruskan program peduli rakyat tanpa mengambil kira ideologi politik mana-mana mangsa yang ditimpa musibah.

Tegasnya lagi, bantuan yang diberikan mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh mangsa setelah mereka kehilangan pelbagai keperluan.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote