Malaysia Dateline

Misi TUDM hantar barang perubatan dan kesihatan ke Sarawak, Sabah

Pesawat pengangkut A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semalam telah melaksanakan satu lagi misi penerbangan menghantar keperluan barang perubatan dan kesihatan ke Sarawak dan Sabah dalam usaha memerangi wabak COVID-19 di negara ini.

Menurut satu kenyataannya di Kuching, misi dilaksanakan adalah bagi memastikan fasiliti kesihatan di kedua-dua negeri sentiasa mencukupi dan proses memuat naik barangan dijalankan seawal jam 5 pagi di Pangkalan Udara Subang (PU Subang).

Kata kenyataan itu, proses tersebut mengambil masa hampir satu jam dan dilakukan oleh anggota-anggota TUDM yang bertugas di Cabang Pergerakan Udara, PU Subang.

“Keperluan yang dihantar terdiri daripada spesimen klinikal tambahan dan Peralatan Pelindung Diri (PPE) kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kegunaan petugas perubatan.

“Selain itu, TUDM turut membawa bekalan penutup hidung dan mulut sebanyak 19,000 ribu keping yang disalurkan oleh kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi kegunaan kumpulan barisan hadapan mendepani pandemik COVID-19 di negeri Sarawak dan Sabah,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, pesawat A400M dari No 22 Skn yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang telah berlepas pada jam 7 pagi semalam.

“Pesawat telah selamat tiba di Pangkalan Udara Kuching pada jam 8.45 pagi dan menurunkan barang-barang keperluan bagi negeri Sarawak.

“Selesai sahaja di Pangkalan Udara Kuching, pesawat kemudiannya meneruskan penerbangan dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada jam 1.25 tengah hari bagi penghantaran barang-barang untuk negeri Sabah,” ujar kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, penerbangan dikendalikan oleh Juruterbang TUDM Mejar Mohd Shafique Mohd Amin selaku dan dibantu Kapten Syahmi Nazri bersama tiga anak kapal lain.

Turut sama dalam misi penghantaran udara ini ialah Pegawai Memerintah No 22 Skn, Leftenan Kolonel Yusrizal Zain TUDM.

“Misi penghantaran udara yang dilaksanakan oleh TUDM telah berjalan dengan lancar dan membuktikan TUDM sentiasa dalam keadaan siap siaga dari segi aset-aset serta anak kapal.

“Oleh demikian, TUDM akan terus memberikan komitmen kepada kerajaan dan juga agensi-agensi terlibat dalam usaha memerangi COVID-19 yang mengancam negara dan dunia.

“Misi Khidmat Sosial untuk negara yang dilaksanakan oleh warga TUDM dengan kerjasama pelbagai pihak melalui pesawat TUDM ini diharap memanfaatkan rakyat khususnya petugas barisan hadapan,” jelas kenyataan itu.