“Misi Ubai menjadi Datin tak tercapai” – Shila Amzah rupanya pernah ditawar gelaran Datuk

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi terkenal, Shila Amzah kembali menjadi sorotan ramai baru-baru ini selepas mendedahkan bahawa dirinya pernah ditawarkan untuk menerima pangkat bergelar Datuk.

Tawaran tersebut bagaimanapun ditolak secara baik oleh pemilik nama sebenar Nur Shahila Amir Amzah itu kerana lebih gemar dan selesa menjadi diri sendiri berbanding memikirkan pangkat.

Perkara itu didedahkan oleh penyanyi berusia 34 tahun terbabit di dalam satu sesi audio siar atau ‘podcast’ yang dikendalikan oleh suaminya iaitu pempengaruh dikenali sebagai Ubai MZ.

“Layak atau tidak (mendapat darjah kebesaran) itu adalah subjektif. Pernah dapatlah (tawaran gelaran Datuk), tetapi saya tolak. Sebelum dapat itu saya ditanya-tanya dahulu. Kerana sebelum diberi gelaran, akan ada yang ‘risik-risik’.

“Tetapi saya lebih gemar sekadar dikenali sebagai Shila Amzah sahaja. Saya sudah selesa dengan apa yang ada sekarang ini. Kalau orang nak bagi gelaran, saya sedaya upaya nak elak.

“Bukan ini (gelaran) yang saya kejar. Saya juga enggan ada jurang,” kata pelantun suara lagu Patah Seribu itu dalam sedutan rakaman audio siar yang turut dikongsikan di platform TikTok.

@ubaimz

Misi untuk saya menjadi Datin tak tercapai hmm #fyp #tiktokmalaysia

♬ original sound – Ubai Mz – Ubai Mz

Pendedahan tersebut dibuat selepas suaminya membaca komen daripada peminat yang berpendapat bahawa Shila sudah layak mendapat gelaran Datuk kerana telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat global.

Dalam pada itu, penyanyi terbabit juga sempat berseloroh bahawa dirinya lebih memilih untuk menerima gelaran ‘datuk’ atau ‘nenek’ secara semula jadi apabila menimang cucu kelak.

“Kalau awak (Ubai) diberikan gelaran Datuk pun saya tak nak. Kalau betul saya mengejar gelaran seperti itu, baiklah saya berkahwin dengan orang yang sudah mempunyai pangkat tesebut.

“Tetapi kalau betul nak dapat gelaran itu, biarlah anak kita yang kahwin nanti kemudian berikan pangkat datuk dan nenek kepada kita.” Ujar penyanyi terbabit dalam rakaman tersebut.

Sekadar info, Shila Amzah mula mencipta nama sebagai penyanyi di peringkat antarabangsa selepas menjuarai satu pertandingan nyanyian yang berlangsung di Shanghai, China iaitu Asian Wave 2012.

Sejak daripada itu, Shila terus merekod sejarah tersendiri dalam industri hiburan di negara Tembok Besar China itu malah berjaya meraih ramai peminat tempatan yang setia memberi sokongan.

Baca juga: Uniqlo akhirnya bersuara selepas didakwa aniaya ramai pekerjanya