Miskin, dadah & ketum punca ramai pelajar Perlis gagal ke IPT

Miskin, dadah & ketum punca ramai pelajar Perlis gagal ke IPT

Kemiskinan, penyalahgunaan dadah dan pengambilan air ketum adalah antara penyebab utama berlaku keciciran pelajar yang serius di Perlis, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Menurutnya faktor berkenaan menyebabkan empat atau lima peratus sahaja pelajar Perlis berjaya melanjutkan pengajian di universiti awam di negara ini.

Katanya Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempunyai lima peratus sahaja pelajar Perlis.

“Angka ini amat rendah kerana hampir 95 peratus pelajar gagal melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi,” kata Azlan kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, di sini, semalam.

Beliau berkata kemiskinan dalam isu ini membabitkan pengangguran dalam kalangan 50 peratus rakyat Perlis yang bergantung kepada peluang pekerjaan semata-mata berbanding pendidikan akademik.

“Kemiskinan adalah punca ibu bapa tidak memberi perhatian dan mengabaikan anak-anak mereka kerana sibuk mencari nafkah,” kata Azlan dan menambah masalah sosial di Perlis banyak membabitkan penyalahgunaan dadah dan daun ketum.

Katanya faktor berkenaan merupakan penyumbang terbesar punca keciciran terutama pelajar sekolah menengah yang menunjukkan hampir 20 peratus sekolah di Perlis menghadapi masalah pelajar ponteng sekolah.

Pelajar yang sering ponteng juga mempunyai masalah akademik selain tidak berminat belajar kerana terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah dan daun ketum, kata Menteri Besar itu.

Pengerusi Jawatankuasa Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar pula menyifatkan keciciran pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana ramai antara mereka termasuk ibu bapa hanya melihat universiti sebagai tempat untuk menimba ilmu semata-mata.

Katanya mereka kecewa apabila gagal belajar di universiti walaupun banyak pilihan seperti Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara menawarkan tempat.

“Kebolehpasaran graduan kemahiran teknikal dan vokasional mencecah hampir 99 peratus yang menunjukkan pasaran hari ini amat memerlukan graduan dalam bidang tersebut untuk bekerja dalam industri,” kata Sahol Hamid.

TAGS