Misteri ‘chalet garuda’ alun ayat al-Quran dalam hutan di Selangor

Oleh ARIF ATAN

Alunan rakaman bacaan ayat suci al-Quran halus kedengaran dari dalam bangunan kayu berukiran tradisional dengan lambang Garuda Pancasila di jenang pintunya sejurus tiba kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.

Perkarangan rumah di atas bukit di kawasan hutan dalam daerah Hulu Selangor itu dilihat terjaga dan dihiasi indah dengan deretan pokok bunga pelbagai warna.

Namun, semua pintu dan tingkap tertutup. Tiada sesiapa kelihatan di kompleks berkemungkinan chalet yang berlambangkan negara Indonesia itu ketika tinjauan Malaysia Dateline bersama beberapa aktivis alam sekitar lain.

Bukan Jata Negara tetapi Garuda Pancasila di pintu utama bangunan kayu yang nampak dijaga di kawasan hutan di Hulu Selangor.

Mengitari kawasan sekelilingnya, kami menemukan deretan kira-kira 10 unit pondok bersaiz kecil selain tidak kurang lima pintu tandas di sebelah sayap kiri kompleks bangunan itu.

Salah sebuah daripada unit berlantaikan papan plywood itu terbuka tingkapnya menampakkan keadaan dalamannya yang berselerak.

Di belakang deretan chalet beratapkan daun itu pula, kelihatan kawasan lembah dengan sebuah kolam di tengahnya.

Sekurang-kurangnya empat unit chalet dengan seni bina bumbung pengaruh Bali terdapat di pinggir kolam berbentuk segiempat itu. Sebahagian pemandangan di sana pula agak terlindung dengan rimbunan pohon tinggi.

Susun atur seperti kawasan peranginan berkonsepkan Nusantara.

Tidak jauh dari situ, terdapat kawasan berupa padang dengan kira-kira 20 ekor lembu dan kambing sedang meragut rumput. Timbul persoalan, siapa pemilik chalet berkiblatkan Republik Rakyat Indonesia itu?

Chalet yang dilihat gah dengan lambang Bhinneka Tunggal Ika (beraneka tetapi tetap satu) dijumpai secara kebetulan ketika kami menjengah Kampung Kerandang di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Ternakan lembu dan kambing tanpa kelihatan gembalanya.

Kampung yang bagaikan dilanggar garuda itu sepi dengan balai raya, surau dan sejumlah unit rumah yang ditinggalkan.

Semakan Malaysia Dateline mendapati lokasi tersebut pernah diteroka secara haram. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2009 kemudiannya telah memutuskan untuk mengekalkan kawasan seluas kira-kira 354 hektar itu sebagai hutan simpan.

Jabatan Perhutanan Selangor pula diputuskan supaya mengambil tindakan untuk menghutankan semula kawasan terbabit.

Kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengenakan caj ke atas peneroka haram dan penduduk yang telah mengusahakan tanah tersebut tanpa kebenaran.

Antara rumah tinggal di Kampung Kerandang.

Dalam masa sama, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor diminta menolak terus sebarang permohonan pemberimilikan ke atas hutan itu pada masa akan datang.

Walau bagaimanapun, tinjauan kami semalam mendapati tiada notis atau papan tanda daripada pihak berwajib terutama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor memaklumkan bahawa kawasan Kampung Kerandang itu sebagai sebahagian hutan simpan.

Mengulas ‘misteri’ kewujudan ‘chalet’ dan bekas kampung itu, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, Jabatan Perhutanan Selangor perlu tampil menjelaskan status terkini kawasan tersebut.

“Difahamkan, kawasan Hutan Simpan Bukit Tarek ini pernah ada operasi mengusir penceroboh haram. Tapi realitinya kita nampak ada yang bahkan bela lembu dan kambing.

“Hasil tinjauan, kita dapati ada aktiviti guna tanah yang tidak wajar dibiar dalam kawasan hutan simpan.

“Persoalannya, adakah kawasan yang mulanya diceroboh ini masih lagi berstatus hutan simpan atau sudah dinyahwarta?” tanyanya lagi yang turut meninjau lokasi terbabit.

Beliau menegaskan jika masih kekal hutan simpan seperti diputuskan 13 tahun lalu, Jabatan Perhutanan negeri perlu mendirikan papan tanda atau notis berkaitan memaklumkan larangan pencerobohan berulang di kawasan yang sepatutnya dihutankan semula.

Tambahnya, Jabatan Perhutanan Selangor juga harus mempunyai perancangan pengurusan hutan jangka panjang bagi memastikan sasaran kerajaan negeri untuk 33.3 peratus kawasan hutan di seluruh negeri itu menjadi hutan simpan kekal menjelang 2030 tercapai.

Antara unit chalet bersaiz kecil bersebelahan bangunan utama berlambangkan negara Indonesia itu.

Baca juga: ‘Tidak habis-habis musnahkan hutan, Kelantan tidak ambil iktibar bencana bah 2014’