Misteri stesen minyak Caltex, netizen dedah walau 6 tahun dah tutup tapi ramai singgah isi minyak

Oleh NASUHA RAHMAN

Stesen minyak Caltex di Pasir Mas Salor dikatakan telah lama ditutup kira-kira 6 tahun lalu namun hari ini tular berikutan ramai yang nampak stesen minyak itu sedang beroperasi.

Belakang stesen minyak itu terletaknya kawasan kubur dan di sebelahnya pula ada kedai menjual sate. Difahamkan mereka yang tidak pernah melalui jalan itu akan melihat stesen minyak ‘meriah’ padahal ia tidak seperti yang digambarkan.

Hakikatnya, stesen minyak tersebut agak suram, sunyi dan menyeramkan dengan tidak terurus dipenuhi dengan semak samun dan sampah sarap.

Bagaimana ada sesetengah pengguna jalan raya melihat stesen minyak itu beroperasi dan masuk isi minyak malahan ada yang ke tandas serta mandi-manda di situ?

Kelmarin, tular gambar kereta masuk stesen minyak terbabit seperti sedang mengisi minyak kereta sempat diambil oleh salah seorang pengguna Facebook, Yusal Mastura Yusoff.

Mastura yang berasa hairan apabila lalu dua, tiga kali di hadapan stesen minyak itu melihat ada yang masuk mengisi minyak.

“Dekat-dekat Maghrib pun ada juga kereta masuk isi minyak, memang nampak dua, tiga kali dah juga orang parking macam nak isi minyak,” katanya.

Baginya mungkin orang jauh yang tidak tahu kisah stesen minyak terbabit yang singgah manakala orang tempatan umum sudah tahu stesen itu sudah lama ditutup.

“Takut, aish seriau aje bulu roma,” tulisnya.

Susulan perkongsian itu, ramai memberi komentar terkejut dan seram apabila tidak tahu kisah sebenar stesen minyak tersebut.

Malahan ada yang mengakui baru sahaja singgah dan isi minyak ketika pulang cuti sekolah baru-baru ini.

“Biar betul. Saya lalu Jumaat baru-baru ini, naik motor isi mnyak,” komen Zasfaliza Salwani Hassan.

“Betul, betul, aku nampak juga bila malam, orang siap masuk berhenti. Pelik betul dia tak nampak ke?” tulis Aini Yaya di ruang komentar hantaran Mastura di Facebook itu.

“Saya dah terkena. Siap singgah masuk tandas dan mandikan anak-anak. Masa tu tak tahu lagi pasal tempat tu,” komen Ida Ghazali.

“Saya orang KL, selalu isi minyak dekat Caltex di Salor ni,”kata Fahmin Asyraf.

Ada yang mencadangkan agar diletakkan ‘papan tanda jangan masuk, stesen tutup’ supaya orang luar tidak berhenti dan masuk isi minyak.

“Orang kawasan situ buatlah satu signboard untuk orang luar tahu, Caltex ni berpuaka dan jangan berhenti masuk,” cadang Faiz Zakaria.

Hantaran Mastura berkaitan ‘misteri’ itu menerima hampir 4,000 komen dengan hampir 5,000 perkongsian setakat ini.

Baca juga: Jambatan sementara ‘Bailey’ rosak kerana banjir di Baling dah siap

Baca juga: Dah tak kenal orang sangat, Pak Lah hidap demensia