Miti akan percepatkan kelulusan insentif harga kereta baharu

Miti akan percepatkan kelulusan insentif harga kereta baharu

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) memberitahu, ia akan mempercepatkan kelulusan insentif untuk harga model kereta baharu.

“Kami sedar bahawa proses ini perlu dilakukan dengan lebih efisyen dan lebih daripada bersedia untuk bekerja bersama Persatuan Automotif Malaysia (MAA) bagi memastikan proses ini dipercepatkan,” kata Timbalan Menterinya, Dr Ong Kian Ming, kepada pemberita selepas pameran Cafe Malaysia 2019, di sini, hari ini.

Katanya, kementerian juga akan mengadakan sesi dialog dengan MAA untuk menangani proses kelulusan.

Dalam satu kenyataan hari ini, MITI menyebut, keputusan mengenai kelulusan insentif berkenaan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automoitf (ABDC)

Menurut MITI, di bawah pentadbiran sebelum ini, beberapa syarikat kenderaan memperoleh insentif terus daripada Menteri Kewangan, melangkaui ABDC, dan banyak permohonan diluluskan tanpa penilaian komprehensif bagi menentukan pulangan terhadap pelaburan kepada kerajaan.

“Sekarang, mereka perlu melalui proses yang betul, kerana itu mungkin beberapa pembuat kereta yang disegerakan sebelum ini perlu menunggu lebih lama,” kata Ong

Beliau mengulas mengenai laporan berita yang mana MAA menyebut, kelewatan dalam meluluskan insentif harga model kereta baharu memberi kesan kepada pelancaran kenderaan baharu dan mungkin menjejaskan jumlah pertumbuhan keseluruhan industri tahun ini.

Sebagai balasan, MITI berkata, kelewatan itu adalah untuk memastikan insentif diberi dan diagihkan menurut peraturan dan garis panduan ditetapkan.

ABDC ditubuhkan pada 2006 bagi memudahkan proses membuat keputusan secara kolektif dalam menentukan kuantum insentif untuk dilanjutkan kepada syarikat kenderaan.- BERNAMA