Malaysia Dateline

MITI guna Twitter beritahu polis tentang SOP

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini mempersoal mekanisme komunikasi dan sistem penyampaian antara jentera kerajaan pada masa ini.

Beliau merujuk kepada Twitter Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung prosedur operasi standard (SOP) kementerian itu.

“Dah teruk sangat ke komunikasi dan delivery system antara jentera kerajaan pada hari ini. MITI guna Twitter untuk beritahu PDRM tentang SOP mereka,” kata Puad dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Puad Zarkashi

Terdahulu, MITI memaklumkan kepada PDRM berkenaan surat MITI untuk tujuan kerja yang tidak perlu cop kebenaran. Kenyataan MITI itu sebagai membalas ciapan seorang pengguna Twitter.

Mengulas lanjut, Puad yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu berpendapat rakyat wajar berang dengan tatacara kerajaan yang mengelirukan.

“Ayat MITI itu pun lain macam bunyinya. Menyindir pun ye, stres pun ye. Patutlah rakyat keliru dan marah.

“Kalau begini caranya bolehkah pandemik Covid-19 diperangi?” bidas bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu lagi.

Sebelum ini, MITI memaklumkan, pergerakan rentas daerah atau negeri bagi tujuan kerja tidak memerlukan surat kebenaran PDRM.

Appa yang diperlukan, kata pihak MITI, hanyalah kombinasi surat dikeluarkan MITI dan surat majikan atau surat MITI dan pas pekerja.