Malaysia Dateline

MITI lulus buka kilang arak, MKN putuskan tak boleh

Kerajaan mengarahkan operasi kilang minuman keras untuk ditutup berkuat kuasa serta-merta sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran untuk beroperasi hanya diberikan kepada kilang-kilang berasaskan makanan dan minuman, namun hanya bagi keperluan asas.

“Oleh yang demikian, kilang minuman keras tidak termasuk dalam kategori keperluan asas.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan hari ini bersetuju supaya semua kilang-kilang minuman keras di seluruh negara ditutup serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung satu surat yang menyatakan bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah meluluskan operasi kilang arak sepanjang tempoh ‘lockdown’.

Surat itu memaparkan kebenaran yang dikeluarkan kementerian tersebut untuk sebuah kilang minuman keras ternama di Shah Alam, Selangor.

Jurucakap Miti sebelum ini juga dikatakan telah mengesahkan bahawa kilang bir dibenarkan beroperasi kerana berada di bawah sektor minuman yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Susulan kebenaran diberikan kepada kilang arak, warganet meluahkan kemarahan dan mempersoalkan kewajaran MITI bertindak sedemikian.