Miti mahu PKS rebut peluang dalam TPPA kembang perniagaan global

Miti mahu PKS rebut peluang dalam TPPA kembang perniagaan global

Kerajaan komited dalam meningkatkan penyertaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan membantu mereka mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa, teruta menerusi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan akan mengadakan perjumpaan dengan PKS untuk memastikan mereka mengambil peluang dalam TPPA.

“Kerajaan sedar, banyak lagi program yang boleh dilakukan agar PKS, khususnya PKS Bumiputera, dapat menyertai rantaian global dengan mengambil kesempatan menerusi perjanjian perdagangan bebas (FTA) seperti TPPA ini,” katanya ketika membentangkan usul mengenai TPPA pada mesyuarat khas Dewan Negara hari ini.

Mustapa berkata pada masa ini, kira-kira 18 peratus daripada PKS sudah terlibat dalam eksport, dan dasar keutamaan ke atas syarikat Bumiputera dan PKS dalam perolehan kerajaan, dikekalkan dalam TPPA.

Menjawab kegusaran rakyat berhubung TPPA, beliau berkata pelaksanaan dasar Bumiputera akan diteruskan menerusi Bab Perolehan Kerajaan, Bab Syarikat Milik Kerajaan, Bab Pelaburan dan Bab Perkhidmatan.

Fleksibiliti yang diberi kepada Malaysia meliputi tempoh dan had yang lebih tinggi untuk melaksanakan obligasi Malaysia, terutama dalam Bab Perolehan dan Syarikat Milik Kerajaan dan Monopoli yang Ditetapkan (SOE), katanya.

“(Antara keistimewaannya ialah) memperuntukkan 30 peratus kontrak untuk kontraktor Bumiputera dalam sektor pembinaan dan had permulaan sebanyak SDR63 juta atau RM315 juta.

“(Ini turut) Memberi keutamaan kepada Bumiputera, termasuk PKS, dan juga entiti dari Sabah dan Sarawak sehingga 40 peratus peruntukan pembelian tahunan SOE.

“Di samping itu, pembekal dan pengeluar Bumiputera akan terus menikmati keutamaan harga ke atas barangan dan perkhidmatan dalam perolehan kerajaan,” katanya.

Selain Malaysia, negara perunding TPPA lain terdiri dari Brunei, Singapura, Vietnam, Jepun, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Chile, Mexico, Peru dan Kanada.

Mustapa berkata lima negara lain turut menyatakan hasrat untuk menyertai TPPA, dan Malaysia akan tertinggal sekiranya memilih untuk tidak menyertainya.

Katanya TPPA bukan sekadar perjanjian perdagangan, ia juga merupakan satu agenda transformasi ke arah tadbir urus yang telus, yang dapat mempertingkat kebajikan pekerja, pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar, pematuhan standard serta mewujudkan pentadbiran yang cekap dan telus dalam menggalakkan perdagangan dan pelaburan.

“Jika Malaysia membuat keputusan untuk menangguhkan penyertaan dalam TPPA, maka segala pengecualian dan fleksibiliti tersebut perlu dirunding semula, dan tidak ada jaminan kita akan mendapat keistimewaan yang sama seperti yang telah berjaya kita rundingkan sekarang.

“Penyertaan Malaysia dalam TPPA juga akan menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang terbuka, yang bersedia mematuhi piawaian yang tinggi dan bertaraf antarabangsa bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar, kebajikan pekerja dan meningkatkan ketelusan ke arah tadbir urus yang lebih cemerlang,” katanya.

TPPA mempunyai beberapa elemen baharu seperti bab alam sekitar, perolehan kerajaan, buruh, persaingan, SOE, perlindungan harta intelek serta pelaburan yang lebih komprehensif.

TAGS