Malaysia Dateline

‘MITI tak boleh pakai, Azmin Ali, kamu memang gagal’, pimpinan akar umbi Umno berang

Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff dilihat amat berang dengan Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) ekoran kelonggaran kepada sektor industri untuk beroperasi ketika wabak Covid-19 sedang mengganas.

Bekas calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Petani pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) itu menyifatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai gagal mengekang penularan pandemik.

“MITI tak jalan dah. MITI tak boleh pakai. Azmin Ali, you memang fail,” tegasnya dalam rakaman video secara langsung selama tujuh minit di Facebook hari ini yang telah dikongsikan lebih 1,000 warganet hanya dalam tempoh tiga jam selepas bersiaran.

Shahanim mendedahkan beliau banyak menerima aduan rakyat daripada kalagan pekerja kilang sekitar Sunga Petani yang bimbang dengan risiko jangkitan apabila dipaksa pihak majikan untuk hadir bekerja.

“Rintihan pekerja-pekerja kilang, ada kawan mereka yang positif tetapi majikan, ada (pekerja) yang pakai gelang, pun suruh mai datang kerja.

“Apabila pekerja-pekerja kilang ini positif Covid-19, berjangkit pada yang lain, balik ke rumah, berjangkit pula pada anak dan ahli keluarga

“Ada satu kes pekerja kantin di sebuah di kilang ini dijangkiti Covid-19. Akibatnya, sembilan orang ahli keluarganya (dijangkiti) masuk wad,” dakwanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkaji semula syarat-syarat kebenaran untuk kilang beroperasi sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mulai 15 Jun hingga 28 Jun ini.

Shahanim menegaskan sekatan pergerakan penuh yang dikenakan kepada rakyat dengan terpaksa duduk di rumah tidak berhasil melandaikan lengkung rantaian kes Covid-19 jika kilang-kilang terus dibenarkan beroperasi.

“Sia-sia PKP tapi katakan 60 peratus pekerja kilang yang ada 2,000 pekerja, bermakna 1,200 datang berkerja ramai-ramai. Tak jadi apa PKP.

“Kalau kilang dibuka macam biasa, jangan harap kes (jangkitan Covid-19) akan turun. Jadi, pkp 3.0 lagi dua minggu ini, tolonglah tengok balik syarat-syarat (kilang beroperasi).

“Nanti, kes naik, sampai bila nak sambung PKP, lagi dua minggu? Orang lain semua duduk rumah tapi pekerja kilang ramai-ramai terpaksa pergi kerja,” luahnya mengakui amat tidak berpuas hati.

Beliau turut menyifatkan kilang tidak akan gulung tikar sekiranya tidak beroperasi hanya dalam tempoh dua minggu.

“Kita buat betul-betul (PKP) dua minggu, tiada siapa pergi kerja. Kilang bukan bankrap kalau setakat dua minggu, bukan dua tahun.

“Kalau dok macam ni, lagi sambung (PKP) dua minggu, habis nanti, sambung lagi sampai bila?” soal Shahanim lagi bertubi-tubi.

Untuk rekod, sejak 31 Mei lalu, kluster tempat kerja mendominasi bilangan kluster harian mengatasi kluster lain seperti kluster komuniti, keagamaan, institusi pendidikan dan kumpulan berisiko tinggi.