Malaysia Dateline

Mitsui muncul sebagai pemegang saham terbesar IHH

Pemilikan tambahan kepentingan ekuiti sebanyak 16 peratus dalam IHH Healthcare Bhd oleh Mitsui & Co. Ltd akan menjadikan syarikat Jepun itu sebagai pemegang saham terbesar dalam kumpulan tersebut dengan pegangan sebanyak 32.9 peratus.

Ini susulan pengumuman oleh Khazanah Nasional Bhd mengenai penjualan 16 peratus kepentingannya dalam IHH kepada Mitsui dengan harga RM8.4 bilion, yang seterusnya mengurangkan  pemegangan sahamnya kepada 26.05 peratus.

IHH merupakan antara kumpulan hospital swasta terbesar di Asia, mengendalikan 50 hospital dengan lebih 12,000 katil di sembilan negara termasuk Singapura, Malaysia, Turki dan India.

Mitsui dalam satu kenyataan hari ini berkata syarikat tersebut telah melabur dalam IHH sejak 2011 dan menyokong perluasan geografi serta perniagaan IHH melalui rakan kongsi tempatan serta pengenalan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan terkini yang terdapat di negara-negara maju.

“Dalam tempoh enam tahun antara 2011 hingga 2017, kedua-dua EBITDA (pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan) serta bilangan katil hospital telah mencatatkan peningkatan lebih tiga kali ganda.

“Bersandarkan kekuatannya yang menyeluruh, Mitsui akan terus menyokong pengurusan IHH,” kata syarikat itu.

Seperti yang diumumkan dalam rancangan jangka sederhana pengurusan syarikat pada Mei 2017, penjagaan kesihatan dipilih sebagai satu bidang pertumbuhan sasaran.

“Dengan pertambahan penduduk yang berterusan, dijangka lebih separuh penduduk (dunia) akan berada di Asia.

“Pemintaan untuk penjagaan perubatan kian meningkat, seiring pertumbuhan ekonomi serta peningkatan golongan berusia sedangkan Asia terus menghadapi masalah kekurangan katil hospital dan doktor,” kata syarikat itu.

Mitsui berkata syarikat itu akan membina dan mengembangkan ekosistem penjagaan kesihatannya dengan IHH sebagai tonggak setelah mengambil kira persekitaraan makro tersebut.

“Mitsui akan terus menyokong pertumbuhan IHH dan juga mencari peluang-peluang yang mempunyai pertumbuhan tinggi dengan menggunakan transformasi digital serta inovasi teknologi secara efektif.

“Mitsui  akan terus membangunkan perkhidmataan penjagaan kesihatan di Asia dari segi akses, kualiti dan keberkesanan serta menyumbang kepada masyarakat yang sihat,” kata syarikat itu.

Sementara itu, Mitsui menjelaskan bahawa pemilikan tersebut masih belum selesai dan tertakluk kepada keperluan kawal selia di India.

“Oleh itu kami percaya bahawa kesan kewangan daripada pemilikan kepentingan tambahan ini terhadap tahun kewangan berakhir Mac 2019, adalah terhad” kata syarikat itu.

— BERNAMA