Malaysia Dateline

Mizan Adli kekal sebagia Pengerusi Tetap AMK

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menegaskan bahawa Mizan Adli Mohd Nor masih kekal sah sebagai Pengerusi Tetap sayap pemuda itu.

Timbalan Ketuanya, Muhammad Hilman Idham, mendesak agar surat pelucutan jawatan yang ditandatangani Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razak kelmarin, ditarik semula.

Ini kerana katanya, pelucutan jawatan menerusi surat yang mengemukakan alasan penamatan dibuat kerana umur kedua-dua pemimpin itu telah melebihi 35 tahun, jelas melanggar Perlembagaan PKR dan Peraturan Tetap AMK Malaysia.

“Perlembagaan Parti dan Peraturan Tetap tidak memberikan sebarang kuasa kepada Majlis Pimpinan Pusat AMK untuk melucutkan kuasa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap.

“Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap merupakan sebahagian daripada Kongres Nasional yang merupakan kuasa tertinggi parti sebagai mana yang termaktub dalam Perkara 10.3.1 Peraturan Tetap AMK dan Fasal 17 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat

“Justeru, saya menggesa kepimpinan parti segera bertindak untuk menarik semula surat perlucutan tersebut memandangkan ianya dengan jelas telah melanggar peruntukan-peruntukan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat dan Peraturan Tetap AMK Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, surat yang ditandatangani Setiausaha AMK itu juga bersifat ‘dangkal’ yang cuba memesongkan fakta bagi merasionalkan perlucutan tersebut dengan hanya menyatakan Perkara 5.1 & 5.3 Peraturan Tetap dan menyembunyikan Perkara 5.2 dalam Peraturan Tetap.

Ini kerana katanya, Perkara 5.2 telah memperuntukkan bahawa ‘Semua pemegang jawatan dalam AMK adalah kekal sebagai Anggota Angkatan Muda Keadilan walaupun telah melebihi had umur sehingga tamat tempoh khidmat atau sehingga digantikan oleh pemegang jawatan yang baru’

Tambah Muhammad Hilman, fakta bahawa jumlah perwakilan yang layak mengundi dalam Kongres Nasional 2018 hanyalah berjumlah 270 orang memperlihatkan betapa kepimpinan MPP AMK adalah lemah dan tidak tersusun.

Ini kerana katanya, perkara 10.3.3 Peraturan Tetap telah memperuntukkan 7 orang perwakilan AMK untuk setiap Cabang.

“Sekiranya hanya 270 perwakilan yang boleh memilih, ini bermakna Kongres hanya di hadiri oleh kurang 39 Cabang daripada lebih 178 Cabang seluruh negara.

“Apatah lagi semua keputusan pemilihan yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) telah disahkan dalam Kongres Nasional 2018. Wibawa dan integriti JPP harus dipertahankan,” ujarnya.