Malaysia Dateline

MKN digesa kemuka SOP benarkan aktiviti penggambaran

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa mengeluarkan SOP untuk aktiviti penggambaran dan membenarkan aktiviti tersebut dijalankan semula, demi survival anak seni dan kru produksi.

Syahredzan Johan berkata, kedua pihak berkenaan perlu segera duduk semeja untuk memperincikan SOP yang sedia ada.

Ini kerana katanya, penggiat seni dan industri kreatif, penerbit dan kru produksi akan terkesan teruk apabila pihak berwajib tidak mengambil tanggungjawab dalam perkara ini.

“Yang terkesan teruk bukanlah Menteri, mahupun Pengerusi atau CEO FINAS, tetapi penggiat seni dan industri kreatif, penerbit dan kru produksi,” katanya yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Terdahulu, MKN mengatakan bahawa penggiat seni kreatif perlu mengemukakan SOP, manakala FINAS pula mengatakan bahawa SOP itu telahpun diserahkan kepada MKN.

Katanya, sewaktu aktiviti penggambaran dibenarkan semasa PKPB tahun lepas, SOP sudahpun sedia ada dan sekiranya perlu, SOP sedia ada itu boleh diperketatkan lagi.

“Ramai penggiat seni, penerbit dan persatuan yang berkenaan telah merayu kepada pihak MKN untuk membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan semula.

“Ramai yang mempersoalkan, sekiranya pasar malam dibenarkan untuk beroperasi, mengapa aktiviti penggambaran tidak boleh diteruskan pula dengan SOP yang ketat,” kata beliau.

Malangnya kata beliau, kerajaan pula gagal untuk memberikan bantuan yang menyeluruh dan memadai bagi mengurangkan impak kewangan rakyat di kala PKP ini.