Malaysia Dateline

MKN,  MOT dengari keluhan pengguna pengangkutan awam, kata bekas menteri

Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyeru Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) mendengar luahan kebimbangan daripada para penumpang pengangkutan awam.

ANTHONY LOKE

Jelas Anthony, apabila kekerapan tren dikurangkan berikutan kemalangan semalam dan Covid-19, maka jumlah penumpang yang berkumpul untuk menunggu tren di stesen akan bertambah.

“Secara logiknya, apabila kekerapan tren dikurangkan, maka jumlah penumpang yang berkumpul untuk menunggu tren di stesen akan bertambah.

“Kapasiti penumpang yang dibenarkan dalam setiap trip boleh dikurangkan, namun biarlah kekerapan perjalanan tren dikekalkan seperti biasa,” ujarnya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Tambahnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Seremban, beliau tidak faham bagaimana mengurangkan kekerapan tren boleh membantu mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

Ini adalah susulan daripada ramai pengguna pengangkutan awam yang menyuarakan kebimbangan berkenaan tindak balas susulan insiden kemalangan semalam, ditambah pula dengan pengurangan operasi tren berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ramai pengguna Twitter meluahkan rasa kesal dan risau akan keselamatan mereka jika perkara itu tidak diselesaikan dan berterusan.

Pengguna Twitter @nizamiks antaranya, telah berkongsi gambar kesesakan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di media sosial.

Dalam hantarannya itu, dia berkongsi gambar suasana di stesen LRT Pasar Seni yang diperoleh dari rakannya.
“Sebab SOP (prosedur operasi standard) baru di tren, sekarang tren jadi ‘pack’ (padat) macam sardin balik.

“Penjarakan fizikal ke laut. Caca marba punya SOP,” katanya. Pemilik akaun @njwznl.YL pula berkata ia bukanlah peraturan yang baik.

“Dah 15 minit dan tidak bergerak langsung. Merepek! Jadi orang ramai macam ni boleh elak covid merebak ke?? Dekat mana logiknya??” soalnya lagi.