Malaysia Dateline

MKT Umno cadang kerajaan perpaduan bila semua tiada majoriti

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Johari Ghani mencadangkan agar kerajaan perpaduan ditubuhkan apabila tiada satu pun gabungan parti yang mempunyai majoriti di Parlimen.

Beliau berkata, parti-parti politik mesti tampil membentuk kerajaan perpaduan, dipimpin seorang Ahli Parlimen yang diterima oleh semua.

Namun katanya, Umno harus bersedia untuk sebarang kemungkinan, termasuk menjadi sebahagian blok pembangkang sebelum pilihan raya umum diadakan.

“Memainkan peranan semak dan imbang kepada pentadbiran seterusnya, akan membolehkan Umno memulihkan kredibilitinya di kalangan rakyat.

“Semua perbincangan berhubung pelantikan perdana menteri dan anggota Kabinet mesti dirunding antara parti-parti berkenaan. Presiden dan Timbalan Presiden Umno harus mengetuai rundingan ini bagi pihak parti,” lapor FMT.

Secara peribadi, beliau berpandangan Umno tidak harus lagi bertolak ansur terhadap Ahli Parlimen parti yang ingkar keputusan MKT, tidak kira apa jua alasan yang diberikan.

Johari juga berkata tanggungjawab pertama parti-parti politik adalah mencapai konsensus mengenai tempoh pemerintahan dan misi kerajaan apabila kerajaan perpaduan ditubuhkan.

‘Saya berpandangan, kerajaan perpaduan harus ditubuhkan sebagai pentadbiran interim bagi tempoh tidak melebihi 12 bulan, dan tertakluk kepada pilihan raya umum diadakan,” katanya.

Justeru tegas beliau, kerajaan baharu hendaklah menguruskan kewangan awam dengan efisien dan telus serta memberi keutamaan kepada penambahbaikan sistem kesihatan awam.

Selain itu, usaha harus dilipatgandakan untuk memulihkan ekonomi dengan membenarkan perniagaan dibuka semula dengan garis panduan ketat untuk mengekang Covid-19.