MMC hanya beri khidmat hemodialisis, kata Menteri Kesihatan

MMC hanya beri khidmat hemodialisis, kata Menteri Kesihatan

Mawar Medical Centre (MMC) hanya dibenarkan memberikan perkhidmatan hemodialisis kepada pelanggan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia memberhentikan operasi dan penguguran perkhidmatan pada 5 November lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian telah meneliti penjelasan yang diberikan oleh premis dan sehubungan itu telah mengeluarkan surat bertarikh 12 November 2018 untuk memaklumkan keputusan kementerian itu.

” MMC diberikan tempoh 2 bulan daripada tarikh surat tersebut untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan pelesenan Mawar Medical Centre; dan arahan Kementerian melalui surat bertarikh 5 November 2018 masih terpakai.

“Di mana pihak MMC perlu mengemukakan permohonan pindaan lesen bagi menggugurkan perkhidmatan-perkhidmatan yang dilesenkan (Selain perkhidmatan hemodialisis), serta menurun taraf jenis kemudahan jagaan kesihatan daripada hospital swasta kepada pusat hemodialisis swasta; dan
MMC tidak boleh beroperasi tanpa pakar yang berkelayakan, pada pada bila-bila masa.

“Sekiranya gagal mematuhi syarat yang dinyatakan di atas, KKM akan mengambil tindakan undang-undang, selaras dengan Akta 586,” ujarnya dalam kenyataan.

Katanya, arahan pemberhentian operasi dan pengguguran perkhidmatan yang dikeluarkan oleh KKM pada 5 November 2018 itu melibatkan semua perkhidmatan kecuali perkhidmatan hemodialisis.

Tindakan tersebut diambil berikutan peletakan jawatan semua pengamal-pengamal perubatan pakar di pusat perubatan berkenaan yang berkuatkuasa 1 November 2018 kecuali seorang pakar nefrologi yang telah memberikan notis untuk meletakkan jawatan pada 1 Disember 2018.

Notis-notis peletakan jawatan tersebut telah diterima secara rasmi oleh KKM pada 5 November 2018.

Peletakan jawatan pakar-pakar tersebut telah menyebabkan pemegang lesen hospital gagal memastikan setiap perkhidmatan yang dilesenkan disediakan oleh pakar yang berkelayakan pada setiap masa.

Perkara ini telah menyebabkan pelanggaran Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

“Ketiadaan pakar-pakar ini untuk memberikan perkhidmatan yang dilesenkan kepada Mawar Medical Centre akan memudaratkan kepentingan orang awam, sepertimana yang ditetapkan

“Susulan itu, KKM telah mengadakan satu perbincangan bersama pihak MMC pada 9 November 2018 yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

“KKM ingin menegaskan bahawa apa jua tindakan yang diambil adalah demi menjaga kepentingan dan keselamatan pesakit serta kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan,” ujar Dr Dzulkefly lagi.