Malaysia Dateline

MN, PN perpaduan asas al-Quran, yang lain mesti dihapuskan

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pendekatan diamalkannya mengikut petunjuk al-Quran dalam aspek perpaduan umat dengan menyatukan umat Islam menerusi penubuhan Muafakat Nasional (MN).

Ahli Parlimen Marang itu berkata, MN diasaskan pada awalnya oleh Pas dan Umno serta terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama termasuklah kepada Bersatu yang dijemput selepas itu.

“Kemudian diikuti dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan semua parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang membentuk kerajaan PN,” katanya dalam artikel panjang beliau hari ini.

Menurutnya, kerajaan PN berasaskan piagam yang dimeteraikan secara persefahaman dahulu sebelum diperkemaskan secara berperingkat, berasaskan konsep Islam agama rasmi Persekutuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

Dalam tulisannya bertajuk “Wajib mempertahankan perpaduan kita”, Abdul Hadi turut bertegas menolak sebarang usaha untuk membentuk pakatan baharu dengan pelbagai jenama yang dicadangkan.

“Dengan tegas dinyatakan bahawa apabila kita baru sahaja menubuhkan MN dan PN, laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur.

“Maka cadangan lain adalah tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan,” ujarnya.

Artikel oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu juga dilengkapi tiga ayat terjemahan al-Quran petikan Surah al-Imran, ayat 103; Surah al-Baqarah, ayat 74 dan Surah al-Imran, ayat 105.

“Inilah acuan Islam yang ingin dikembalikan semula setelah dilupakan. Jangan jadi Melayu yang mudah lupa kerana meninggalkan Islam.

“Jadilah Melayu Islam yang sempurna dengan aqidah, syariat, akhlak dan integriti, bersama kaum dan penganut berbagai agama berkonsepkan adil kepada semua dalam masyarakat majmuk.

“Acuan perpaduan inilah yang boleh menegakkan umat yang selamat di dunia dan akhirat,” hujahnya lagi.

Abdul Hadi turut mengeluarkan hukum haram untuk memilih acuan akal manusia yang sempit kerana menganggap itu sekadar menyelamatkan diri, puak dan kedudukan masing-masing.

Sebaliknya, acuan Islam jelasnya, berteraskan iman atau aqidah bagi penganut Islam dan konsep adil untuk semua manusia termasuk bukan Islam yang dianggap sebagai roh yang menyuburkan perpaduan.

Dia yang pernah sepenggal menjadi Menteri Besar Terengganu 1999 hingga 2004 itu berkata, acuan akal manusia bukannya berwadahkan umat yang besar dan wawasan yang jauh daripada dunia sehingga akhirat.

“Perpaduan ini adalah fardu kifayah kewajipan secara umum dan menjadi fardu ‘ain kepada pemimpin yang bertanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menegaskan kesungguhan untuk memperkukuhkan perpaduan dan persaudaraan serta memperkasakan MN dan PN yang dibina secara bersama.