MOA cari mekanisme terbaik tingkatkan pendapatan nelayan pantai

MOA cari mekanisme terbaik tingkatkan pendapatan nelayan pantai

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan berusaha mencari jalan dan kaedah terbaik demi memastikan sumber pendapatan warga nelayan pantai dapat ditingkatkan.

Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya ada mengadakan perbincangan bersama Pengarah Perikanan, Datuk Munir berhubung kemungkinan pihak-pihak swasta akan turut dipelawa untuk melabur.

“Pihak swasta mungkin akan dipelawa untuk melabur kemungkinan dalam bentuk satu konsortium bagi kita mentadbir atau mempelawa nelayan pantai. Barangkali kita akan memberi mereka (nelayan) segala kemudahan untuk menangkap ikan.

Kita turut memikiran untuk nelayan-nelayan ini mempunyai bot dan peralatan dan teknologi yang moden. Ini boleh dibekalkan oleh pihak-pihak yang melabur,

“Apabila sebahagian daripada hasil tangkapan itu dijual, mereka akan dapat nikmati hasil jualan dan sebahagiannya pula dinikmati pihak pelabur. Saya berharap dapat kaedah-kaedah itu nanti akan dapat mengubah nasib para nelayan pantai.

“Bagi saya, itu (idea) penting kerana kita sedang memikirkan cara-cara tertentu untuk meningkatkan pendapatan mereka (nelayan pantai). Kekangan yang mereka hadapi adalah daripada segi peralatan, sebagai contoh bagaimana hendak memodenkan bot kerana semua itu memerlukan modal sedangkan mereka tiada modal,” katanya.

Beliau berkata demikikan pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dokumen Pengembangan Perikanan (DPP), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), di Putrajaya, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi.

Terdahulu, Salahuddin yang juga merupakan Timbalan Presiden AMANAH melancarkan DPP yang menjadi asas panduan dan rujukan kepada agen-agen pengembangan perikanan (semua kakitangan DOF) dalam melaksana dan mendapatkan maklum balas ke atas program-program jabatan.

DOF telah berjaya menghasilkan sebanyak tujuh buah dokumen sokongan perkhidmatan pengembangan yang dinamakan DPP iaitu Pelan Strategik Pengembangan Perikanan 2018-2030, Metodologi Pengembangan: Integrasi Pengembangan Perikanan (Ipp), Manual Pengembangan Perikanan, Kit Perikanan, Buku Pemantauan dan Penilaian, Modul Latihan Pengembangan dan juga myKOMUNITI PERIKANAN (myKP).