MOA dalam rancangan gubal subsidi input kepada subsidi output

MOA dalam rancangan gubal subsidi input kepada subsidi output

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sedang dalam perbincangan untuk menggubal polisi subsidi input kepada subsidi output agar subsidi tersebut dapat disalurkan terus kepada petani sekaligus mengelakkan berlakunya penyelewengan.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, kaedah berkenaan mampu membantu golongan petani selain dapat menurunkan kos barangan makanan.

Malah katanya, isu penyelewengan kuasa dan kartel yang berlaku dalam negara menyebabkan harga makanan didapati dijual dengan kadar yang tinggi.

“Kita tahu bahawa kerajaan tiap-tiap tahun beri lebih dari RM2 bilion dari pelbagai subsidi, baik subsidi baja, subsidi input, racun, dan termasuk elaun sara hidup kepada nelayan. Tapi akhirnya golongan ini masih dalam keadaan susah.

“Maka perlu ada satu polisi yang baru untuk mengubah nasib penternak, petani dan nelayan terutamanya dari luar bandar.

Sim Tze Tzin

“Itu sebab kita sedang mengubah dan menggubal polisi. Kita masih sedang dalam perbincangan dan peringkat perancangan untuk mengubah subsidi dari input subsidi ke output subsidi

“Daripada memberi subsidi menerusi syarikat besar, kita nak terus beri subsidi kepada peladang, petani supaya mereka sendiri boleh memilih untuk membeli barangan input seperti benih, racun, dan sebagainya,” katanya dalam program Jalinan Mesra Peladang 2019, di Dataran Ilmu Bandar Selayang, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi; Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Adun Rawang, Chua Wei K.

Sementara itu, beliau berkata, golongan B40 yang terdiri dari peladang, petani dan pesawah perlu merebut peluang memasuki medan pasaran bagi memasarkan hasil pengeluaran mereka selepas data import makanan negara mencatat sehingga RM52 bilion.

Jelasnya, kadar import tinggi menunjukkan ketidakcukupan hasil makanan dalam negara sehingga meletakkan kebergantungan kerajaan mengimport hasil luar.

Justeru katanya, golongan ini perlu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan kerajaan sekaligus meningkatkan hasil pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan.

“Ikan segar yang di import dari luar negara sebanyak RM2.1 bilion, daging lembu dan kerbau sebanyak RM2.4 bilion, kambing import sebanyak RM792 Juta, manakala cili yang kita boleh tanam sendiri di seluruh Malaysia, kita import sehingga RM244 Juta.

“Kita sedang mencari penyelesaian supaya harga makanan boleh diturunkan. Saya nampak bahawa NAFAS mempunyai peluang baik, kerana kita tahu import yang begitu tinggi memberikan peluang perniagaan para petani dalam memasuki medan pasaran,” katanya.

 

Sementara itu, dalam majlis sama, Phahrolrazi turut menyerahkan sumbangan zakat kepada seramai 450 asnaf peladang dari sembilan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Selangor.

Turut disampaikan sumbangan pendidikan kepada 18 mahasiswa yang terdiri dari anak-anak ahli peladang yang memperoleh keputusan cemerlang, 3.50 CGPA dan ke atas bagi peringkat Diploma dan Ijazah di IPTA dan IPTS.

Beliau berkata, penyerahan zakat tersebut adalah sebahagian daripada wakalah zakat perniagaan NAFAS kepada asnaf peladang Negeri Selangor yang menerima wang tunai RM200 setiap seorang dengan nilai peruntukan RM90,000.

“Penyampaian sumbangan zakat ini bagi membuktikan komitmen NAFAS dalam memastikan setiap keuntungan dari aktiviti perniagaan NAFAS dikongsi bersama ahli Peladang.

“Adalah diharap dengan sumbangan yang disampaikan ini dapat meringankan beban perbelanjaan ahli-ahli Peladang dalam kehidupan seharian mereka selain memberi galakan dan motivasi kepada anak-anak Peladang untuk terus berjaya dalam pembelajaran mereka,” katanya.