Malaysia Dateline

Sim Tze Tzin

MOA laksana kajian kesesuaian tapak penternakan ikan sangkar di Kukup

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah meminta Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) supaya melakukan kajian kesesuaian tapak baharu bagi industri penternakan ikan sangkar di Kukup, Pontian, Johor.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata kajian itu yang meliputi beberapa kriteria termasuk faktor kedalaman air laut, kehadiran oksigen dalam air serta tahap kualiti air adalah langkah jangka masa panjang pihaknya untuk membantu memulihkan sektor berkenaan.

Ini selepas mengambil kira kejadian 44 penternak kerugian kira-kira RM5 juta berikutan ribuan ikan ternakan mereka mati akibat pencemaran air tawar ekoran taufan Lekima, Ogos lepas.

“Ini isu yang perlu kita selesaikan kerana akuakultur sangat penting dan Kukup adalah kawasan akuakultur kedua terbesar di Malaysia dan mereka menghasilkan ikan yang memenuhi keperluan protein di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog bersama 44 orang penternak ikan sangkar yang terjejas akibat insiden taufan itu di Kampung Nelayan Air Masin di sini, malam tadi.

Beliau berkata melalui kajian itu, kementerian berharap penternak dapat dipindahkan secara berperingkat dua tahun lagi.

“Kita mahu memindahkan mereka kerana hendak mengelak pencemaran sebab sekarang terlalu dekat dengan pantai, mungkin kurang 500 meter dari kawasan pantai tetapi selepas ini, jauh sedikit dua kilometer namun masih dalam perairan sama (Pulau Kukup),” katanya.

Sim berkata selain kajian itu, pihaknya akan memberikan 3,000 ekor benih ikan kerapu kepada penternak yang terjejas untuk mengurangkan kerugian mereka.

“Ini pula adalah langkah jangka pendek. Tahun depan sekiranya mereka masih memerlukan, mereka boleh memohon lagi benih. Di samping itu, kita akan berikan juga makanan ikan dan alat pengudaraan.

“Kita juga akan bagi dua sangkar ikan berteknologi moden HDPE bernilai RM50,000 seunit. HDPE ini berbeza dengan sangkar ikan tradisional kerana boleh menahan ombak dan mengguna pelbagai sensor termasuk kamera litar tertutup (CCTV), malah turut digunakan di banyak negara maju.

“Kita berharap dengan menyediakan HDPE ini, penternak dapat menyesuaikan diri ke arah cara penternakan yang lebih moden, selari dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0,” katanya.– BERNAMA