MOA landasan sesuai jalin kerjasama untuk pesara tentera raih pendapatan

MOA landasan sesuai jalin kerjasama untuk pesara tentera raih pendapatan

Kementerian Pertahanan melihat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sebagai landasan sesuai untuk menjalinkan kerjasama supaya veteran tentera, terutamanya bekas tentera yang tidak berpencen, menjana sumber pendapatan selepas bersara.

Menterinya, Mohamad Sabu berpendapat, sektor pertanian berpotensi menjana pendapatan lumayan sekiranya penggiat industri itu mengusahakannya mengikut cara yang betul.

Beliau berkata, hasil berbudi kepada tanah menerusi penanaman nanas jenis MD2, seorang pengusaha buah tempatan itu, kini telah menjadi jutawan di Selangor.

“Nanas MD2 warnanya hijau, tetapi ia cukup manis dan boleh dipasarkan ke peringkat antarabangsa. Jadi, saya lihat banyak cabang melibatkan pertanian yang kita boleh berkerjasama dengan MOA supaya bekas tentera yang usianya masih muda melibatkan diri dalam dunia pertanian.

“Thailand negara yang berjaya dalam bidang pertanian. Sebab itulah, bila kita ke negara jiran, sepanjang zaman kita boleh lihat pulut mangga ada di sana dan buah mangga juga banyak di Lapangan Terbang Antarabangsa, Bangkok.

“Sekarang ini, Singapura turut terlibat dalam sektor pertanian, iaitu penanaman sayuran hidroponik yang diusahakan di rumah-rumah pangsa di negara republik itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siang media selepas siri lawatan kerjanya ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) hari ini.

Yang turut hadir dalam lawatan itu adalah, Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan, Pengarah Perubatan HATTM, Mejar Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Mastura Ahmad Mustafa.

Sempena dengan siri lawatan kerjanya ke HATTM, Mohamad berkata, pihaknya berhasrat mewujudkan sistem Elektronik Medical Record (EMR), iaitu sistem digital untuk menghubungkan rekod pesakit secara pantas dan teratur membabitkan lima hospital milik ATM di seluruh negara.

“Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) mengusulkan supaya Sistem Maklumat Hospital (HIS) menggunakan EMR dapat dilaksanakan untuk menghubungkan lima hospital ATM di seluruh negara termasuk juga di Kota Kinabalu, Sabah.

“Kita akan membuat rayuan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk memberikan peruntukan membangunkan sistem berkenaan serta membuat penambah baikan lain. Peruntukan itu belum diperincikan lagi, tetapi dianggarkan dalam RM15 juta diperlukan untuk sistem itu, manakala lebih kurang RM20 juta untuk peralatan penambah baikan.

“Sehubungan itu, Kementerian berpendapat, sistem EMR adalah keperluan yang perlu disegerakan kerana menerusi sistem itu, pengurusan rekod perubatan pesakit boleh dikongsi semua hospital yang terlibat,” katanya.

Dalam perkembangan berbeza, ketika ditanya mengenai penjualan Hotel Royale Bukit Bintang, Mohamad menjelaskan proses penjualan hotel berkenaan dilakukan mengikut peraturan dan harga yang dipersetujui firma dari Singapura itu lebih daripada 100 peratus daripada harga yang dibuka.

“Apa pun, keputusan terakhir terletak pada Jabatan Perdana Menteri. Lembaga Pengarah telah pun berbincang mengenainya dan meluluskannya,” jelasnya.