MOA lulus 150 AP import kubis bulat bagi 2019

MOA lulus 150 AP import kubis bulat bagi 2019

Datuk Mohd Salleahuddin Hassan

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengeluarkan 150 Permit Kelulusan (AP) tahun ini bagi mengimport kubis bulat, dengan 63 syarikat tidak diperbaharui AP masing-masing sebagai langkah pemutihan.

Ketua Setiausahanya Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata MOA akan memantau prestasi semua syarikat yang telah diberikan AP dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya tidak mencapai prestasi ditetapkan.

“Piawaian Prosedur Operasi dalam penilaian permohonan AP telah ditambah baik bagi memastikan ketelusan pemberian AP di peringkat Jabatan Pertanian dan kementerian.

“Pemegang AP perlu mengisi akuan bersumpah berpandukan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bagi membolehkan tindakan diambil sekiranya terdapat penyalahgunaan AP,” katanya pada sidang media bagi memberi maklum balas kepada Laporan Kajian Semula Pasaran Sektor Makanan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Laporan yang dibentangkan pada 6 Ogos itu antara lain menyentuh mengenai wujudnya penyalahgunaan AP untuk mengimport kubis bulat yang menyumbang kepada kenaikan harga sayur berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Sallehhuddin berkata punca kenaikan harga kubis bulat adalah disebabkan faktor perubahan musim penanaman antara bulan Mei hingga Julai di negara pengeluar dan juga faktor kadar tukaran mata wang Dolar Amerika Syarikat dengan mata wang tempatan.

“Trend peningkatan harga ini selari dengan harga produk makanan lain seperti buah-buahan, ikan dan makanan laut,” katanya.

Mengenai isu bekalan daging, Mohd Sallehhuddin berkata MOA sudah membuka ruang pengimportan daging dari beberapa negara iaitu Amerika Syarikat, Pakistan, Brazil, New Zealand dan negara Asia Tengah.

Katanya terdapat 53 pusat penyembelihan dari seluruh dunia yang boleh membekalkan daging ke Malaysia buat masa ini.

“Faktor kewangan bagi menampung kos operasi perniagaan pengimportan daging yang tinggi menyebabkan hanya beberapa syarikat berupaya menjadi pengimport daging pada masa ini.

“Jika dibandingkan dengan harga daging di negara jiran, harga daging di Malaysia adalah secara kompetitifnya murah iaitu RM175.90 sekilogram bagi daging batang pinang berbanding RM217.79 sekilogram di Singapura,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata MOA sedang dalam usaha meminda Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang bertujuan memperluas fungsi dan bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).– BERNAMA