MOA nafi terlibat anjur program Jualan Harapan, NGO  kurang peka sensitiviti  guna logo PH

MOA nafi terlibat anjur program Jualan Harapan, NGO kurang peka sensitiviti guna logo PH

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA)  menafikan penglibatan dengan Program Jualan Harapan Rakyat yang dianjurkankan dua buah NGO yang telah  menimbulkan kekeliruan orang ramai mengenai penggunaan logo MOA dan Pakatan Harapan (PH).

Kementerian itu dalam kenyataan lewat petang ini berkata, program yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sekitar Lembah Klang, Putrajaya, Kajang dan Sepang itu bertujuan untuk membantu rakyat memperolehi barangan basah yang segar dan murah.

Inisiatif itu, dilihat dapat membantu dalam menangani kos sara hidup.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengalu-alukan hasrat mana-mana pihak yang ingin mengadakan program sebegini.

“Namun, Kementerian ini berpandangan bahawa pihak penganjur kurang peka dengan sensitiviti tindakan mencampur aduk penggunaan logo rasmi Kementerian dalam mana-mana program anjuran persendirian.

“Penggunaan logo Kementerian tanpa kebenaran akan mengelirukan dan memberi mesej yang tidak benar kepada rakyat.

“Adalah juga tidak menjadi amalan Kementerian ini untuk menggunakan logo mana-mana parti politik dalam program-program yang dianjurkan oleh Kementerian,’ ujar kenyataan itu.

Oleh itu tegas kenyataan itu lagi, Kementerian memohon kerjasama penganjur untuk menurunkan bunting dan papan tanda yang mempunyai logo Kementerian dan FAMA dengan kadar segera.
“Kementerian ini juga akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perkara sebegini berulang pada masa hadapan,” ujarnya kenyataan itu.

Semalam Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menegur program sama yang mana katanya menyalahgunakan jentera kerajaan bagi program jualan murah oleh Kementerian Pertanian.

Beliau berkata, program Jualan Harapn Rakyat oleh Kementerian Pertanian itu menggunakan logo Pakatan Harapan.

“Jangan ulangi kesilapan masa lalu. Jangan gunakan agensi kerajaan untuk kepentingan parti.

“Kenapa ada logo Harapan?” Dia bertanya dalam posting di Twitter semalam

Program ini berlangsung di pasar Bandar Baru Ampang yang menjual barangan keperluan pada harga yang rendah.

Syed Saddiq berkata beliau akan membuat aduan mengenai perkara itu.

“Saya akan bangkitkan isu ini kepada pimpinan tertinggi kerajaan,” katanya di dalam twitternya.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS