MOA perjelas isu laporan kawalan import daging dan kubis bulat

MOA perjelas isu laporan kawalan import daging dan kubis bulat
Datuk Mohd Sallehuddin Hassan

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) hari ini tampil menjelaskan kekeliruan berhubung kawalan import daging dan kubis bulat dalam Laporan Kajian Semula Pasaran Sektor Makanan di bawah Akta Persaingan 2010.

Laporan tersebut telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) pada 6 Ogos lalu dan mendapat perhatian daripada media arus perdana serta media sosial.

Ketua Setiausaha MOA, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata, terdapat beberapa kekeliruan yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan, khususnya berkaitan tanggungjawab kementerian mengenai kawalan import kubis bulat dan juga daging.

“Dalam pengimportan daging, semua syarikat yang layak boleh memohon untuk mengimport daging dari mana-mana negara sumber, tertakluk kepada syarat sanitari dan phytosanitary (SPS) dan garis panduan antarabangsa seperti World Organisation for Animal Health (OIE).

“Keselamatan makanan juga berpandukan kepada Garispanduan Codex dan Malaysia Standard MS 1480:2007, MS 1514:2009 serta MS 1500:2009 (Halal) yang dipersetujui oleh kedua-dua negara.

“Tugas bagi memastikan sumber daging adalah selamat dan halal untuk dimakan pula telah dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis yang menjaga 57 pintu masuk negara.

“Pihak Maqis akan memastikan setiap daging import yang dibawa masuk mempunyai kelulusan kuota import (AP) yang sah, Sijil Kesihatan Veterinar, Sijil Halal dan juga Sijil Phyto,” katanya pada sidang media selepas memberi maklum balas berhubung laporan kajian berkenaan, di Menara Atlan, hari ini.

Mengulas mengenai kubis bulat pula, Sallehhuddin menjelaskan, sayuran itu adalah antara keluaran pertanian yang dikenakan kawalan import di mana kelulusan kuota import (AP) diluluskan berdasarkan Perintah Duti Kastam 2017.

Beliau berkata, pihaknya telah melaksanakan beberapa langkah untuk meningkatkan ketelusan dan tadbir urus yang baik bagi pemberian AP.

“Langkah pemutihan telah dilaksanakan pada tahun lalu ke atas pemilik AP bagi memastikan kelulusan permit tersebut diberikan kepada syarikat yang layak sahaja.

“Selaras dengan langkah itu, sebanyak 63 syarikat daripada 150 tidak diperbaharui permitnya (AP) atas pelbagai faktor seperti pematuhan prosedur dan prestasi yang kurang memuaskan.

“Selain itu, piawaian prosedur operasi standard (SOP) dalam penilaian permohonan AP telah ditambah baik bagi memastikan ketelusan pemberian AP di peringkat Jabatan Pertanian dan kementerian.

“Bagi pemegang AP, mereka perlu mengisi akuan sumpah berpandukan Government Integrity and Anti-Corruption Commission (GIACC) bertujuan membolehkan tindakan diambil sekiranya dikenal pasti menyalahgunakan AP seperti menjualnya kepada pihak ketiga.

“Kami juga akan memantau prestasi syarikat-syarikat yang telah diberikan AP dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya lagi.

Kajian Semula Pasaran yang dijalankan selaras dengan seksyen 11 dan 12 permit kelulusan (AP) 2010 yang memberi fokus kepada lima barangan makanan terpilih iaitu daging, ikan kembung, rumusan bayi, sawi dan kubis bulat.

Tujuan utama kajian adalah untuk meneliti struktur pasaran, keberdayasaingan pasaran dan menentukan sama ada terdapat perlakuan anti-persaingan di dalam sektor makanan serta menghuraikan punca di sebalik kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini.