Malaysia Dateline

MOA sasar eksport sarang burung walit sehingga RM1.5 bilion

Kerajaan komited memastikan pembangunan industri sarang burung walit dijadikan sebagai satu Projek Permulaan (PPP) berimpak tinggi yang mampu menjana pendapatan negara dengan sasaran nilai eksport sehingga RM1.5 bilion pada tahun 2020.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata, sasaran itu dilihat mempunyai asas yang kukuh dari segi keupayaan negara mengeluarkan sarang burung walit berkualiti dan seterusnya menerajui pasaran dunia khususnya negara China.

Beliau berkata, sehingga hari ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berjaya mendaftarkan sebanyak 11,584 premis sarang burung walit di seluruh Malaysia.

“Daripada jumlah itu, sejumlah 2096 premis sarang burung walit telah menerima pensijilan MyGap (Amalan Perladangan Pertanian yang baik).

“Statistik pembangunan industri menganggarkan sejumlah lebih 30,000 rumah burung walit telah dibina dan beroperasi di seluruh negara semenjak tahun 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Pemprosesan Sarang Burung Walit Mentah, di Netfarm International Sdn Bhd, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Netfarm International Sdn Bhd, Datuk Robin Wong Hee Joo; Adun Seri Setia, Halimey Abu Bakar

Ahli Parlimen Pulai itu juga berkata, kerajaan sentiasa berusaha membantu usahawan sarang burung walit mengembangkan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Paling utama PH mahu lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan daripada industri ini supaya ia dapat membantu meningkatkan ekonomi dan kemudiannya dapat memastikan Malaysia menjalinkan hubungan baik dengan negara China,” ujarnya.