MOA sasar sekurang-kurangnya RM350 juta nilai eksport durian

MOA sasar sekurang-kurangnya RM350 juta nilai eksport durian
Datuk Salahuddin Ayub (dua dari kanan) dalam lawatan kerjanya ke fasiliti eksport durian di JL Food Industri Sdn Bhd di Rawang hari ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyasarkan sekurang-kurangnya RM350 juta, nilai eksport durian sejuk beku dalam bentuk ulas (pulp) dan pes sepanjang tahun ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pada tahun lalu jumlah eksport durian telah meningkat kepada RM202.27 juta berbanding RM76.67 juta pada 2017.

Beliau berkata, peningkatan itu didorong pertambahan fasiliti pemprosesan durian yang diluluskan untuk mengeksport produk berkenaan daripada 19 kepada 31 fasiliti.

Katanya, ini adalah satu perkembangan yang sangat positif, kerana varieti durian terbaik di negara ini telah berjaya menembusi pasaran Republik China.

“Satu masa nanti, saya mahu durian menjadi antara sumber ekonomi negara yang mampu untuk kita eksport ke negara-negara luar terutamanya China dalam kuantiti yang banyak.

“Saya juga ingin memaklumkan, pada Ogos tahun lalu ketika lawatan saya dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke China, kami sudah menandatangi protokol durian.

“Saya rasa dalam pertengahan tahun ini (bulan Mei) General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC) akan datang ke sini untuk membuat audit.

“Jika kita lepas audit itu, syarikat yang terpilih akan dapat eksport buah durian dalam bentuk biji pula. Ini juga merupakan satu kejayaan untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Fasiliti Eksport Durian di JL Food Industries Sdn Bhd, di Rawang, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Salahuddin turut mengingatkan usahawan supaya jangan sesekali berkrompomi tentang kualiti durian.

“Jangan menipu dengan mengambil kesempatan untuk mengaut untung yang lebih besar.. Kita kena jaga integriti ini… jika sekali kita didapati menipu dari segi varieti durian, agak sukar untuk kita dapatkan kembali kelulusan daripada pihak GACC,” katanya.

Salahuddin menyampaikan sijil penghargaan kepada usahawan fasiliti eksport durian.