MOA sedang kenal pasti modul baharu bagi mengurangkan monopoli Bernas

MOA sedang kenal pasti modul baharu bagi mengurangkan monopoli Bernas

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) kini dalam proses mengenalpasti modul terbaik bagi mengantikan peranan yang selama ini dipertanggungjawabkan ke atas Padiberas Nasional Bhd (Bernas)

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata, melalui penubuhan jawatankuasa khas yang diketuai Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan 8 kementerian lain kini dalam proses untuk menentukan modul baharu Bernas.

“Kami tidak perlu tergopoh-gapah kerana Bernas akan tamat 2021. Ini isu besar negara kita kena lihat secara holistik terutama soal keselamatan makanan untuk kita gantikan Bernas menerusi semua modul yang akan dikemukakan kepada kita kelak,” ujarnya dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baru Menteri Pertanian 2019 yang diadakan di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini kerajaan di bawah kementerian pertanian bercadang akan mengurangkan monopoli Bernas sebagai pengeluar beras negara.

Kerajaan hanya berhasrat mengurangkan monopoli syarikat itu terhadap pengeluaran beras dengan turut memberikan lesen yang sama kepada beberapa syarikat lain.

Beliau berkata, MOA bersama beberapa NGo, individu, pemain industri untuk mengemukakan pandangan bagi menyediakan model baru.

Ditanya mengenai isu pengimportan beras, beliau berkata pengimportan beras bukan sasaran kementerian dalam tempoh masa empat tahun ini.

“Kementerian setuju meningkat pengeluaran beras tempatan kepada 70 peratus dalam tempoh empat tahun ini. Ia akan dilaksanakan dengan meningkatkan teknologi, suai profiling, baja dan variasi beras yang kita rasakan boleh menghasilkan benih dan tuaian terbaik,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan MOA telah pun menyarankan kepada kerajaan negeri untuk memastikan penggunaan tanah bagi tujuan jelapang padi dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara yang diadakan dengan kementerian itu.

“Terpulang kepada kerajaan negeri untuk buat keputusan. Dalam mesyuarat saya telah bangkitkan agar kerajaan negeri mewartakan tanah-tanah jelapang padi atau ada mana-mana pihak yang mahu menjadikan tanah mereka sebagai jelapang baru untuk diwartakan oleh kerajaan negeri, bagi memastikan keluasan tanah jelapang padi dapat dikekal,” ujarnya.