MOA dapat RM44 juta untuk skim subsidi baja, racun padi

MOA dapat RM44 juta untuk skim subsidi baja, racun padi

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) hari ini mengumumkan, menerima kelulusan RM44 juta permohonan bagi Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit / Huma (SBRPB).

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) pada 28 Mei lalu akan memberi manfaat kepada pesawah padi bukit.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, seramai 56,466 pesawah padi bukit di Sabah dan Sarawak menerima manfaat itu bagi menghadapi musim penanaman awal Ogos ini.

Katanya, melalui inisiatif itu, pengeluaran padi bukit telah berjaya ditingkatkan daripada 1.0 metrik tan per hektar kepada 1.5 metrik tan hingga 2.5 metrik tan per hektar.

“Secara langsung, pendapatan pesawah-pesawah telah berjaya ditingkatkan dari RM180 sebulan ke antara RM320 hingga RM700 sebulan.

“SBRPB adalah inisiatif kerajaan untuk membantu pesawah di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata demikian pada sidang media Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 peringkat kementeriannya, di Wisma Tani, Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir; Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Sementara itu mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), Salahuddin berkata, tugas pihaknya hanya untuk memastikan bekalan mencukupi kepada orang ramai.

“Kita akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Saya lihat memang SHMMP itu mendapat sambutan dan maklum balas yang baik daripada masyarakat.

“Jadi mengenai pengekalkan SHMMP selepas musim perayaan, itu adalah tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,” katanya yang juga Timbalan Presiden AMANAH.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya adakah pihaknya bercadang menyarankan kepada KPDNHEP agar SHMMP diteruskan bagi memastikan harga berpatutan di luar musim perayaan, dapat terus dilaksanakan.