Malaysia Dateline

Mobilus bawa masuk sistem ART yang pertama di Iskandar Malaysia

Mobilus Sdn Bhd (Mobilus) baru-baru ini telah memeterai  perjanjian pembelian dengan CRRC MRT Urban Traffic Co. untuk mengimport sistem transit aliran automatik (ART) yang pertama bagi projek perintis di Iskandar Malaysia pada 2020.

Mobilus merupakan sebuah syarikat usaha sama 51:49 yang ditubuhkan oleh Ireka Corporation Bhd dan CRRC Urban Traffic (Europe) Co. Ltd untuk meneroka peluang perniagaan pengangkutan bandar di Malaysia serta ASEAN.

Ireka dalam satu kenyataan hari ini berkata ART pertama akan dihantar ke Malaysia pada pertengahan 2020 dengan projek perintis berkenaan, disasarkan untuk pelancaran menjelang separuh kedua tahun ini.

“Banyak pihak yang memerhatikan projek perintis ART ini dengan penuh minat memandangkan ia bertujuan untuk mendapatkan kelulusan kerajaan bagi kelayakan penggunaan kenderaan ART di Malaysia, dan seterusnya ke negara lain di ASEAN. Malaysia akan menjadi negara pertama di luar China yang berpotensi mengguna pakai teknologi ini,” katanya.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Ireka, Monica Lai berkata perancangan untuk projek perintis ART di Iskandar Malaysia telah dijalankan dan syarikat berharap ia akan mula beroperasi pada pertengahan 2020.

“Ia akan menjadi salah satu ujian bagi projek Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) yang lebih besar, projek transit berskala besar untuk Iskandar Malaysia itu akan meliputi jajaran sepanjang 51 kilometer dalam fasa pertama,” katanya.– BERNAMA