Model Felda Baharu harus disokong demi masa depan peneroka

Model Felda Baharu harus disokong demi masa depan peneroka

Pemuda AMANAH Nasional (AMANAH) menyarankan perlaksanaan sebarang perniagaan melibatkan institusi dana awam yang berisiko tinggi terutamanya kepada ‘stake holders’ harus dijadikan pengajaran supaya kesilapan yang sama membabitkan Felda tidak akan berulang lagi, kata Timbalan Ketua Pemuda  Faiz Fadzil.

Beliau berkata, usaha kerajaan Pakatan Harapan  dengan pelbagai inisiatif yang akan diambil menerusi Model Felda Baharu harus disokong.

“Penyewaan tanah peneroka dan diuruskan oleh Felda dalam tempoh jangka panjang adalah salah satu usaha bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos operasi.

“Selain itu, kerjasama strategik dengan syarikat perladangan utama yang lain akan diwujudkan dengan lebih banyak menerusi penguasaan mekanisasi dan automasi.

“Langkah ini penting bagi meningkatkan lagi poduktiviti serta mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan menarik penyertaan generasi baru Felda agar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti perladangan, ” ujarnya dalam kenyataan.

Justeru itu kata Faiz, Pemuda AMANAH optimis langkah ini akan mampu untuk memulihkan kedudukan kewangan Felda dan menjadikannya kompetitif selaras dengan syarikat-syarikat perladangan swasta yang lain.

Tegasnya lagi, segala salah laku, kontroversi dan kepincangan di dalam kumpulan Felda dan FGV perlu disiasat dengan segera dan tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

Adun Permatan Pasir ini juga berkata, kertas putih Felda yang telah dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, menunjukkan Felda yang terdiri daripada majoriti peneroka Bumiputera, telah diseleweng dan tidak ditadbir urus dengan baik dibawah kerajaan BN sebelum ini, amat menyedihkan.

“Pemuda AMANAH amat kecewa setelah Felda yang merupakan ilham bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, merosot ditangan anaknya sendiri, Datuk Seri Najib.

“Akibat salah urus Felda oleh kerajaan yang lepas, kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa ‘bail out’ entiti perladangan tersebut daripada terus merosot.

“Malah kerajaan PH telah menyatakan komitmen untuk membelanjakan RM6.3 bilion bagi menyelamatkan Felda dan menyelesaikan masalah hutangnya.

“Seandainya kerajaan BN sebelum ini menguruskan Felda dengan baik, sudah pasti dana sebanyak RM6.3 bilion terebut dapat digunakan untuk pembangunan rakyat, ” tegasnya.

Faiz turut berkata, Felda yang telah mencapai keuntungan sejumlah RM5.9 bilion pada tahun 2012, telah jatuh secara drastik dengan kerugian sebanyak RM4.9 bilion pada tahun 2017.

Sehubungan itu katanya, jumlah liabiliti kumpulan Felda juga semakin meningkat dan ia jelas menunjukkan Felda menghadapi masalah kewangan yang amat serius.

“Berdasarkan laporan kewangan Felda, jumlah liabilitinya telah melonjak berkali ganda daripada RM1.2 bilion pada tahun 2007 kepada RM14.4 bilion pada tahun 2017.

“Sebenarnya kedudukan kewangan Felda mulai merosot selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad pada tahun 2012.

“Salah urus Felda dan aliran tunai yang kritikal juga menyebabkan ia berhadapan dengan isu kelewatan pembayaran Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada para peneroka, ” ujarnya.