Malaysia Dateline

Model negara Rahmah menjadi panduan bina Malaysia baharu, kata Amiruddin

12 Ciri Asas Negara Rahmah berasaskan Islam yang diperjuangkan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) boleh menjadi panduan dalam melengkapkan perubahan yang ingin dicapai kerajaan Malaysia, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

“12 Ciri Asas Negara Rahmah yang digagaskan oleh Ikram boleh dijadikan model yang baik dalam proses membina Malaysia baharu.” ujarnya ketika berucap pada Perhimpunan Tahunan Ikram baru-baru ini.

Beliau berkata, proses membina semula negara perlu dipikul oleh kerajaan baharu memerlukan sokongan dan kerjasama terutamanya daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Individu Bukan Kerjaan (NGI) dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO).

“NGO, NGI dan CSO boleh membantu kerajaan sebagai rakan dalam membina negara, menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat, memberi cadangan syor dan input dari sudut pandangan rakyat, memperkasakan peranan media serta program mendidik rakyat,” jelas Amiruddin.

Menurut beliau, mudah-mudah dengan kerjasama erat yang dilakukan antara kerjaan, NGO seperti IKRAM, NGI dan CSO ini, Allah menurunkan rahmat dan pertolonganNya.

“Supaya kita dapat sama-sama menjayakan tugas murni ini.”

Sebelumnya, dalam majlis yang sama Presiden IKRAM Mohd Parid Sheikh Ahmad telah mengulas 12 Ciri Asas Negara Rahmah.

“Malaysia Baharu adalah sebuah negara yang berkembang ke arah mempunyai kepimpinan yang soleh, berkebolehan dan berintergriti, tadbir urus yang baik dan cekap, ekonomi yang mampan, pembangunan yang lestari.”
Tambahnya lagi, sistem kehakiman yang adil, badan berkanun yang kuat dengan semak imbang yang berkesan, institusi-institusi keluarga kecil dan besar yang utuh, hubungan etnik sesama rakyat dan pelbagai penganut agama harmoni.

“Masyarakat yang terasuh, berilmu dan penyayang, memelihara kebajikan, kesihatan dan keselamatan dan akhirnya menerajui usaha-usaha keamanan kesejahateraan sejagat,” tegas Dr Parid.