Model sambilan pulang ke Rantau demi laksanakan tanggungjawab mengundi

Model sambilan pulang ke Rantau demi laksanakan tanggungjawab mengundi
Model sambilan dari Wilayah Persekutuan Labuan, Noraznem Mohd Nor, 32 tunaikan tanggungjawab mengundi.

“Memang saya balik kampung semata-mata untuk mengundi dan tidak kisah berhabis RM400 untuk PRK kali ini,” kata Noraznem Mohd Nor, 32.

Demikian kata model sambilan dari Wilayah Persekutuan Labuan yang tiba di Rantau jam 12.30 malam tadi hanya untuk mengundi.

“Saya memang balik ke Rantau semata-mata untuk mengundi kerana memikirkan ia adalah tanggungjawab besar yang harus dilaksanakan kepada negara tercinta.

“Petang ini jam 5.30 petang saya akan pulang ke Labuan.. suami tidak ikut sama pagi ini kerana mempunyai tugasan luar yang perlu diselesaikan,” katanya.

Model sambilan itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Rantau, Bandar Ekar, hari ini.

Hari ini, seramai 20,793 pengundi biasa layak mengundi  di 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.