Malaysia Dateline

MOF bayar lebih RM344 juta bagi pihak SRC kepada KWAP

Sebanyak RM344,681,265.07 yang merangkumi RM300 juta prinsipal dan faedah berjumlah RM44,681,265.07 telah dibayar oleh Kementerian Kewangan bagi pihak SRC International Sdn Bhd (SRC) pada 29 Ogos lepas iaitu merupakan pembayaran terkini kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Dalam kenyataan pada Isnin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata untuk itu jumlah pembayaran yang telah dibuat oleh Kementerian Kewangan adalah sebanyak RM1,691,822,628.05.

Berdasarkan kepada jadual pembayaran balik, tarikh pembayaran berikutnya adalah pada 30 September 2019 melibatkan amaun sebanyak RM43,023,748.31 (faedah).

“Jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada baki pembiayaan sebanyak RM3,807,858,447.99 yang akan berakhir pada 2022,” katanya.

Lim berkata Kementerian Kewangan akan memastikan peruntukan secukupnya disediakan bagi menyelesaikan pembiayaan berkenaan kepada KWAP, yang membuktikan kemampuan kerajaan (sungguhpun terdesak dalam aspek fiskal) untuk menguruskan beban kewangan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.–BERNAMA