Malaysia Dateline

MoF segerakan peruntukan tambahan untuk 12 pengimbas suhu

Kementerian Kewangan akan menyegerakan secara serta-merta peruntukan tambahan untuk 12 pengimbas suhu seperti dinyatakan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam kenyataan hari ini, Menterinya Lim Guan Eng berkata pengimbas suhu itu untuk memastikan kemampuan kakitangan Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti individu yang mempunyai simptom menghidapi virus 2019-nCoV (Novel Coronavirus) dapat diperkukuhkan lagi di kawasan-kawasan masuk negara.

“Memandangkan permohonan ini berkaitan dengan usaha perlindungan kesihatan awam dan bersifat kritikal, saya telah meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir untuk memberikan kerjasama penuh supaya peruntukan ini dapat disalurkan secepat mungkin.

“Kementerian Kewangan akan memberikan sokongan penuh kepada Kementerian Kesihatan agar kemampuan agensi kesihatan awam untuk melakukan tugas mereka berada pada tahap yang bertepatan dengan piawaian kesihatan antarabangsa,” katanya.