Malaysia Dateline

MOF pertimbang tambah peruntukan Belanjawan 2019 untuk Kementerian Pertahanan, kata Mohamad

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini menjelaskan peruntukan kewangan untuk kementeriannya bagi tahun 2019 akan ditambah dari semasa ke semasa, tertakluk kepada keupayaan kewangan semasa kerajaan dalam memastikan tahap keselamatan negara berada pada tahap optimum.

Ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2019 bagi kementeriannya (Mindef), Mohamad berkata beliau telah menerima jawapan bertulis daripada Kementerian Kewangan yang menjelaskan dengan lebih lanjut berhubung peruntukan kewangan untuk tahun 2019 bagi kementeriannya.

“Dalam jawapan bertulis kepada saya, Kementerian Kewangan menjelaskan sejumlah RM1.4 bilion diperuntukkan bagi penyelenggaraan aset utama milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disediakan di bawah Kementerian Kewangan, dengan itu jumlah peruntukan sebenar untuk Mindef bagi 2019 ialah sebanyak RM15.3 bilion. Kaedah dan mekanisme penyaluran peruntukan penyelenggaraan tersebut akan diselaras dengan pihak Mindef dalam masa terdekat.

“Kementerian Kewangan juga menjelaskan mereka mengambil maklum terhadap keperluan tambahan peruntukan Mindef bagi tahun 2019 dan akan membuat pertimbangan sewajarnya tertakluk kepada keupayaan kewangan semasa serta prestasi belanjawan Mindef tanpa mengabaikan usaha memastikan tahap keselamatan negara berada pada tahap optimum,” katanya yang membaca jawapan bertulis yang diterimanya daripada Kementerian Kewangan itu.

Justeru, katanya, jawapan berkenaan memberi satu jaminan bahawa tidak berlaku pengurangan nyata peruntukan dalam Belanjawan 2019 bagi Kementerian Pertahanan dan beliau turut memberi jaminan kementerian itu dapat beroperasi dengan baik.

Ketika menjawab celahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berhubung ancaman keselamatan di kawasan pengoperasian Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) susulan penahanan tujuh anggota kumpulan Abu Sayyaf di Sabah beberapa hari lalu, Mohamad berkata kadar jenayah di kawasan itu telah turun dengan ketara.

Jelasnya, kawasan perairan Laut China Selatan dan perairan Sulu kembali menjadi fokus kebelakangan ini berikutan daripada penyelarasan operasi ketenteraan tiga negara, Filipina, Indonesia dan Malaysia di kawasan itu.

“Dalam perjanjian tiga negara itu, kita saling berkongsi menjaga keselamatan, maklumat dan menjalankan rondaan keselamatan bersama, memang tahap jenayah turun ketara sekali namun sekali sekala ada pencerobohan berlaku terutamanya ‘kidnap for ransom’ (penculikan untuk wang tebusan).

“Ini peranan aktif dimainkan oleh Abu Sayyaf dan lain-lain kumpulan, yang ada kalanya tidak mempunyai tujuan tertentu seperti Abu Sayyaf, kadangkala mereka ‘kidnap for ransom’ semata-mata untuk cari wang tambahan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kawalan telah dipertingkatkan di kawasan tersebut dan keamanan juga telah kembali pulih.

“Bila saya lawat pulau-pulau bersempadan dengan Filipina, pelancong ramai datang kerana keselamatan di kawasan itu terjamin, cuma sekali sekala ada pencerobohan dan tangkapan baru-baru ini menunjukkan pihak keselamatan kita cekap untuk mengesan dan menangkap pihak yang cuba mewujudkan kacau-bilau di kawasan itu,” jelasnya.- BERNAMA