Malaysia Dateline

Mohamad ajak ahli Pas yang kecewa sertai AMANAH

Presiden AMANAH Mohamad Sabu mengajak pemimpin dan ahli Pas menyertai partinya susulan tindakan Pas membuat keputusan mengejut menarik balik saman terhadap Sarawak Report.

Mohamad mendakwa terdapat keluhan dikalangan ahli Pas dengan tindakan bersifat ‘pusingan u’ tidak boleh diterima dalam keadaan seluruh ahli telah diyakinkan dengan panafian demi penafian oleh pemimpin tertinggi parti itu bahawa mereka tidak pernah menerima wang seperti yang didakwa.

“Bagi AMANAH, keputusan Pas ini suatu detik penting kepada kepincangan berterusan yang berlaku dalam parti itu sejak 10 tahun lalu. Ia juga sekaligus mengesahkan wujud jalinan ‘hubungan gelap’ parti itu yang turut melibatkan unsur-unsur penerimaan wang.

“Dengan perkembangan terbaru ini, saya mengalu-alukan ahli dan pimpinan Pas untuk menyertai AMANAH. Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama kembali berganding bahu di dalam satu wadah untuk membangunkan Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan malam ini.

Menteri Pertahanan itu berkata,perubahan yang dihasratkan sejak penubuhan parti Islam itu, dakwanya, tertangguh sekian lama kerana tindakan beberapa pimpinan yang melakukan hubungan gelap Umno.

“Pas adalah sebuah parti yang hidup dengan budaya syura termasuk ketika memutuskan untuk menjalinkan hubungan dengan Parti Melayu Semangat 46, DAP dan PKR. Namun sangat aneh, dalam hal menjalin hubungan dengan Umno, ianya hanya ditentukan oleh beberapa kerat pemimpin sahaja.

“:AMANAH juga menyeru kepada kesemua ahli dan jentera di pelbagai peringkat untuk membuat persediaan bagi mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli baru. AMANAH sangat terbuka untuk menerima ahli dari mana-mana parti termasuk PAS. Walaupun pernah berselisih faham sebelum ini, tiada dendam daripada ahli-ahli AMANAH kepada ahli-ahli Pas yang ingin berhijrah,” ujarnya.

Tambah Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu dengan mengambil semangat Malaysia Baharu, semua perlu berganding bahu bersama kerajaan Pakatan Harapan untuk melakukan perubahan demi kebaikan rakyat dan negara dan bukan bersama Umno yang telah terbukti merosakkan negara sejak sekian lama,katanya.