Mohamad Hasan bayang tanding kerusi Parlimen, Dun pada PRU ke-15

Mohamad Hasan bayang tanding kerusi Parlimen, Dun  pada PRU ke-15

Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan membayangkan akan bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya ke-15.

“Rasa-rasanya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 saya tidak akan bertanding di Rantau kerana akan bertanding di kerusi Parlimen.

“Tapi boleh jadi juga saya akan tetap bertanding di Rantau dan juga kerusi Parlimen,” katanya dalam program ceramah di Kampung Sendayan di sini malam tadi.

Beliau turut berkata akan membentangkan cadangan supaya BN dan Pas menyusun strategi supaya kedua-dua parti itu tidak meletakkan calon di kerusi yang sama agar kedua-dua parti itu memperolehi majoriti di Parlimen.

Katanya, berdasarkan keputusan pada PRU ke-14, terdapat 30 kerusi Parlimen yang BN atau Pas boleh menang jika tiada pertembungan antara kedua-dua parti itu.

PRK Dun Rantau pada 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, Mohamad dan dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.- BERNAMA