Malaysia Dateline

Mohamad Hazim tekad teruskan kecemerlangan di pentas antarabangsa

Pesilat muda negara, Mohamad Hazim Amzad menyifatkan kejayaannya meraih pingat emas pada Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-18 di Singapura, semalam, sebagai batu loncatan terbaik untuk dirinya dalam terus menempa kecemerlangan di pentas antarabangsa.

Pesilat berusia 19 tahun itu mengakui beliau agak terkejut dapat meraih emas dalam penampilan sulung pada Kejohanan Dunia kerana kesemua pencabarnya menampilkan aksi terbaik pada edisi kali ini.

Anak jati Chini, Pahang itu memenangi emas kelas Putera C (55-60kg) selepas menewaskan pesilat Thailand, Adilan Chemaeng 4-1 pada aksi final. Beliau sebelum itu mengejutkan pemenang pingat perak Sukan Asia 2018, Nguyen Tai Linh dari Vietnam dengan keputusan sama pada aksi suku akhir.

“Resepi kejayaan saya mungkin hasil kerja keras sebelum bermulanya kejohanan dan saya akui saingan pada kali ini agak sengit, namun saya fokus kepada persembahan diri sendiri.

“InsyaAllah, saya akan cuba beri yang terbaik sekiranya diberi peluang mewakili negara dalam beberapa kejohanan tahun depan terutamanya Sukan SEA 2019 di Filipina,” katanya ketika ditemui Bernama setibanya di ibu negara bersama skuad silat negara dari Singapura, hari ini.

Ketibaan skuad silat negara disambut Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias di Casa Satu MSN.

Mohamad Hazim pada masa sama turut mendedikasikan kejayaan tersebut kepada kedua ibu bapanya, barisan jurulatih serta Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) yang memberi kepercayaan kepadanya untuk mewakili negara pada Kejohanan Dunia.

Untuk rekod, beliau pernah meraih pingat emas pada Kejuaraan Silat Remaja Dunia 2015 di Kuala Lumpur selain gangsa pada Kejohanan Silat Asia Tenggara 2017 dan Sukan Asia 2018.

— BERNAMA