Malaysia Dateline

Mohamad kagum semangat anggota ATM di Pulau Perak

 

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam lawatannya ke Pulau Perak, hari ini menzahirkan rasa kagum terhadap semangat dan kesungguhan ditunjukkan oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di pulau tersebut.

Beliau berkata, walaupun demografi pulau itu berbukit dan jauh dari daratan, namun anggota yang ditugaskan di pulau terbabit tetap komited melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Dengan demografi pulau yang berbukit, berbatu, curam tidak berpantai, malah berada jauh lebih 65 batu nautika dari daratan, mereka (anggota ATM) tetap menjalankan tugas menjaga keselamatan dan kedaulatan negara dengan sebaiknya.

“Pada lawatan ini, saya juga telah diberikan taklimat ringkas mengenai Op PEJARAK (Pulau Perak) dan dibawa meninjau keadaan sekitar penempatan di sini.

“Operasi di sini diketuai seorang pegawai bersama 15 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) yang menjalankan pemantauan pada setiap masa bagi memastikan keselamatan perairan kita daripada diceroboh nelayan asing, lanun atau pun tentera luar yang masuk ke sempadan negara secara tidak sah.

“Suka saya tegaskan sekali lagi, anggota ATM sentiasa berada dalam keadaan bersedia demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara tercinta terus terpelihara daripada sebarang ancaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut bersama pada lawatan itu ialah, Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah, Panglima 6 Briged, Briged Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid dan beberapa pegawai dari Kementerian Pertahanan.

Mohamad Sabu menuyampaikan sumbangan kepada salah seorang anggota yang menjalankan tugas pemantauan di Pulau Perak.- Foto ATM.