Malaysia Dateline

Mohamad ke Forum Doha tonjol komitmen Kementerian Pertahanan pada rakan strategik

Forum Doha  yang dianjurkan di Qatar pada Rabu hingga Ahad lalu, menyaksikan kehadiran Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu menyertai delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamad berkata, kehadirannya adalah sebahagian daripada Perkongsian Berwibawa yang telah digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan yang berada di bawah inisiatif diplomasi pertahanan.

Beliau berkata, ia bagi menggalakkan hubungan pertahanan yang positif melalui platform dua hala dalam menangani isu pertahanan serta keselamatan serantau dan antarabangsa yang dikongsi oleh Malaysia dan negara lain.

Dalam lawatannya, Mohamad sempat bersama-sama dengan Dr Mahathir bertemu dengan ketua-ketua industri Qatar bagi membincangkan potensi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

“Semasa di Doha Forum, saya turut mengadakan pertemuan dengan Dr Khalid Mohamed Al Attiyyah, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Qatar.

“Kunjungan hormat tersebut bagi membincangkan mengenai potensi kerjasama pertahanan dalam bidang sains, teknologi dan industri pertahanan serta kerjasama pertahanan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Qatar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam Forum itu juga turut menyaksikan majlis tandatangan memorandum persefahaman antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Qatar mengenai ‘Establishment of High Level Joint Committee’ bagi menggalakkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang berkait dengan diplomasi dan budaya.

Tidak melepaskan peluang, beliau turut melakukan pertemuan bersama Menteri Pertahanan Jepun, Kono Taro.

Perbincangan tersebut dikatakan meliputi isu-isu keselamatan serantau serta kerjasama pertahanan antara ATM dan Japanese Self-Defense Forces terutamanya dalam bidang Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana serta ketenteraan.

“Lawatan ini juga menonjolkan komitmen berterusan Malaysia untuk turut mempromosikan industri pertahanan Malaysia kepada rakan strategik,” katanya.