Mohamad Khir jawab spekulasi namanya tersenarai di PRK Sungai Besar

Mohamad Khir jawab spekulasi namanya tersenarai di PRK Sungai Besar

Setelah namanya beberapa kali dikaitkan tersenarai sebagai antara calon bagi kerusi Parlimen Sungai Besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), bekas Adun Pasir Panjang, Dr Mohamad Khir Toyo memaklumkan bahawa beliau masih belum memikirkan dan tidak berminat untuk bertanding.

Menurut Khir, buat masa ini beliau hanya ingin berehat buat sementara waktu.

“Saya tidak memikirkan untuk bertanding dalam PRK Sungai Besar buat masa ini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam pada itu, Khir yang juga merupakan bekas Menteri Besar Selangor turut memaklumkan bahawa dakwaan yang mengatakan beliau akan tercalon dalam PRK Sungai Besar adalah hanya spekulasi semata-mata.

Menurut Khir, beliau akan bersama-sama membantu jentera parti Umno dalam PRK Sungai Besar akan datang sekiranya diperlukan.

“Sungai Besar adalah kawasan saya. Bahagian ini saya yang asaskan dahulu. Pecah daripada kawasan Tanjung Karang,” katanya seperti dipetik dari Sinar Harian online.

Selain daripada itu, Khir turut mengesahkan beliau juga tidak dikenakan larangan berpolitik selepas tamatnya tempoh parol yang dikenakan ke atasnya.

Menyentuh mengenai perasaannya selepas tempoh parol tamat, Khir memaklumkan bahawa beliau merasa sangat gembira dan apa yang berlaku telah banyak mengubah dirinya.

“Saya rasa sangat gembira. Saya telah lalui satu fasa dalam hidup saya. Saya belajar banyak dan this episod have change me lot,”katanya.

Khir dikenakan hukuman parol selama dua bulan bermula 29 Mac lalu namun tempoh beliau dibebaskan diawalkan pada 29 Meiini berikutan pihaknya mematuhi semua syarat-syarat ditetapkan.

TAGS