Malaysia Dateline

Mohamad mahu bertemu rakyat terang dasar parti

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, setelah genap setahun Pakatan Harapan (PH), mentadbir negara beliau berikrar akan melapangkan masa untuk bertemu rakyat.

Beliau berkata, sepanjang setahun PH menerajui negara banyak perkara baharu terpaksa dilakukan oleh menteri kabinet untuk melaksanakan tangungjawab masing-masing.

“Memang 1 tahun berlalu, kami orang-orang baru menjadi menteri, setiap hari kita kena belajar benda baru setiap hari, kalau saya sendiri termasuk kena belajar tabik, jadi sekarang kami dapat memahami selok-belok kementerian.

“Maka tahun kedua ini kami boleh meninggalkan sedikit sebanyak pejabat untuk turun ke gelanggang, turun ke kampung menerangkan dasar parti dan apa yang akan dilakukan dan ini kita lakukan pada tahun ke-2 nanti,” katanya ketika sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Ditanya berapa markah yang beliau boleh berikan kepada khidmatnya di Kementerian Pertahanan, Mohamad berkata:” Saya tidak beranilah bagi pada diri sendiri, saudarilah (wartawan) menilai saya,” ujarnya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media mengenai kenyataan Perdan Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan menteri kabinet mengubah sikap dan menumpukan kepada perjuangan parti setelah setahun PH menerajui kerajaan.

Mahathir ketika bercakap pada sidang akhbar khas sempena ulang tahun pertama kerajaan PH baru-baru ini memberi penilaian terhadap prestasi menteri kabinet, Mahathir hanya memberi mereka 5 markah daripada 10 kerana Dr Mahathir akui sangat konservatif.

“Kadang-kadang mereka melakukan sesuatu perkara tanpa merujuk pandangan saya terlebih dahulu, itu tidak sepatutnya dilakukan. Ia menyebabkan timbul beberapa masalah kecil. Tapi mereka belajar.

“Kadang-kadang mereka mendapat publisiti buruk daripada tindakan mereka itu, kemudian mereka datang berjumpa saya untuk bertanyakan apa yang patut dilakukan. Saya akan dengar apa yang mereka katakan dan memberikan penilaian,” katanya sambil meminta menteri berubah dan memberi tumpuan kepada perjuangan parti.