Mohamad pengerusikan mesyuarat sempadan Malaysia-Indonesia

Mohamad pengerusikan  mesyuarat sempadan Malaysia-Indonesia
Menteri Pertahanan bersama delegasi Kementerian Pertahanan bertolak ke Bali Indonesia bagi menghadiri Mesyuarat GBC MALINDO dengan menaiki pesawat A400 TUDM.

Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu dijadualkan akan mempengerusikan Mesyuarat ke-41 Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia -Indonesia yang akan diadakan di  Bali,  hari ini dan berakhir esok.

Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Pertahanan hari ini dipetik berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan buat julung-julung kalinya oleh Mohamad bersama Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu.

Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia merupakan mesyuarat dua hala yang diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir antara Malaysia dan Indonesia.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab dalam memantau serta mentadbir kerjasama persempadanan bagi Malaysia dan Indonesia di samping memastikan kestabilan di kawasan sempadan Malaysia dan Indonesia sentiasa terkawal.

Mohamad diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd Manaf; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Engku Hamzah
Tuan Mat dan pegawai-pegawai kanan dari pelbagai agensi yang berkepentingan.

Kenyataan Kementerian Pertahanan menyebut dalam mesyuarat itu kelak, kedua-dua Menteri Pertahanan akan mendengar laporan berhubung kegiatan yang telah dilaksanakan dan kemajuan bersama yang telah dicapai
sejak Mesyuarat ke-40 yang telah diadakan di Kuala Lumpur pada 28 September 2017.

“Di samping itu, kedua-dua Menteri Pertahanan dijangka akan membincangkan secara khusus usaha-usaha ke arah meningkatkan tahap keselamatan di kawasan sempadan yang akan menjurus kepada peningkatan tahap sosio-ekonomi dan memperbaiki taraf hidup demi kesejahteraan rakyat di sempadan kedua-dua negara,” ujarnya kenyataan.

Selain daripada mempengerusikan Mesyuarat ke-41 Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia – Indonesia, Mohamad dijadualkan akan turut mengadakan pertemuan tertutup dengan rakan sejawat beliau dari Republik Indonesia.