Malaysia Dateline

Mohamad rancang sediakan alatan ketenteraan moden kepada perajurit negara

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu merancang melengkapkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan peralatan baharu dan moden bagi kegunaan perajurit negara pada masa hadapan.

Mohamad berkata, penyediaan peralatan moden itu bukan bertujuan untuk berperang, sebaliknya mengikuti arus teknologi melibatkan perkakas ketenteraan.

“Sekarang dengan hanya menggunakan teknologi dron, orang sudah boleh tahu bagaimana hendak mengesan sesiapa sahaja yang melintasi sempadan negara.

“Dengan perkembangan tekonologi misalnya, kita juga boleh kenal wajah orang yang berada di dalam bot yang sedang menuju ke perairan negara.

“Perkara baharu (teknologi ketenteraan) inilah yang perlu diperlengkapkan. Pada masa akan datang, kapal ronda yang canggih turut diperlukan untuk melakukan pemantauan di perairan negara, kita,” katanya dalam rancangan Soal Rakyat TV3 yang bertajuk Cabaran dan Hala Tuju Pertahanan Negara, malam tadi.

Menurut Mohamad lagi, peralatan-peralatan moden tersebut kini sedang berada dalam perhatian pihaknya dan berharap, dalam Rancangan Malaysia Ke -12 (RMK-12) dan (RMK-13), alatan itu dapat dilengkapkan.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa buah negara dari seluruh dunia bagi melengkapkan kehebatan pasukan ATM dengan peralatan yang moden pada masa akan datang.

“Antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang maju ke hadapan (advance) dalam penggunaan dron adalah Turki.

“Kita akan cuba bekerjasama dengan beberapa negara lain termasuk Turki, China dan Korea.

“Negara yang ada hubungan dengan kita seperti Australia dan Amerika Syarikat juga berada dalam perancangan kami untuk bekerjasama dengan mereka demi kelengkapkan moden anggota ATM,” ujar Mohamad yang juga merupakan Presiden AMANAH.