Mohamad Razali bukan pegawai khas Guan Eng

Mohamad Razali bukan pegawai khas Guan Eng

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mohamad Razali Abdul Rahman yang mendakwa wujudnya hubungan Israel dengan DAP bukanlah bekas pegawai khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng malah tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Setiausaha Agung DAP itu, dedah Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Mohamad Razali Abdul RahmanSehubungan itu, Kit Siang yang juga Ketua Ahli Parlimen DAP menyifatkan Abdul Rahman tidak layak untuk disaman dan dibawa ke mahkamah tetapi lebih sesuai untuk dimasukkan ke hospital mental.

Menjawab gesaan presiden Gabungan NGO Pro-BN, Zulkarnain Mahdar agar DAP menyaman Abdul Rahman dan bukannya Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berhubung dakwaan DAP ditawarkan RM1.2 bilion sebagai balasan membenarkan Israel membina pangkalan tentera di Port Dickson jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) lalu, Kit Siang mengakui tidak mahu membuang masa menjawab gesaan itu.

“Apabila seseorang itu boleh berbohong tentang jawatannya dengan mendakwa sebagai bekas pegawai khas Ketua Menteri sedangkan itu satu pembohongan, kita boleh bayangkan sama ada beliau boleh dipercayai apabila membuat dakwaan liar kononnya Israel menawarkan RM1.2 bilion kepada DAP pada PRU lalu sebagai imbalan kepada pangkalan tentera laut Israel di Port Dickson – sedangkan tiada seorang pun mengetahui rahsia besar itu selain beliau,” kata Kit Siang penuh sindiran.

Dakwaan hubungan DAP dengan Israel yang dibuat Abdul Rahman empat tahun lalu kembali hangat apabila ia dibangkitkan kembali Dr Zuhdi dalam tulisannya yang disiarkan media massa baru-baru ini.

Sehubungan itu, Kit Siang dalam ucapannya di majlis anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Jumaat lalu mengumumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang ‘ahli politik kanan’ kerana mengulangi dakwaan yang tidak berasas itu.

Dalam kenyataan media yang sama, Kit Siang turut mengecam Pemuda MCA kerana mempercayai dakwaan tidak berasas itu.

“Saya tidak menyalahkan MCA dan Pemuda MCA kerana menjadi tidak relevan dan ‘sesat’ (dalam politik negara) kerana mencipta rekod menjadi parti politik pertama di Malaysia yang majoriti ahlinya tidak mengundi MCA dan Barisan Nasional dalam PRU,” ujarnya.

TAGS